Ducati Lancar 9 Model Untuk Pasaran Malaysia
Next Bike Sdn Bhd selaku pengedar rasmi motosikal Ducati di Malaysia telah melancarkan sembilan model baharu di Naza Automall, Petaling Jaya.
Panigale V4 R (RM299,900)
Dalam versi ini, enjin Desmosedici Stradale berkapasiti 1,103 cc telah digantikan oleh enjin Desmosedici Stradale R 998 cc bagi mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kejohanan Superbike Dunia (WSBK). Enjin baru ini menjana 221 hp dan 112 Nm.
Diperkenalkan buat pertama kali pada acara EICMA 2018, Panigale V4 R merupakan motosikal paling laju yang pernah dihasilkan oleh Ducati.
Diavel 1260 S (RM139,900)
Dipertontonkan kepada Desmo Owners Club Malaysia (DOCM) pada bulan lalu, Diavel 1260 S menampilkan enjin Testastretta DVT 1262 yang menghamburkan 159 hp dan 129 Nm.
Ia juga dilengkapi dengan casis yang dinaik taraf yang digabungkan dengan pelbagai ciri teknologi dan elektronik seperti Bosch Cornering ABS dan sistem kawalan prestasi enjin mesra pengguna. Turut disertakan adalah Ducati Quick Shift (DQS) dan sistem gantungan boleh laras Ohlins.
Hypermotard 950 (RM75,900)
Hypermotard generasi ketiga ini dibangunkan untuk mereka yang gemarkan cabaran, dilengkapi dengan bar hendal yang lebar dan tempat duduk yang lebih ergonomik. Ia juga 4 kg lebih ringan berbanding model generasi terdahulu.
Menggerakkan Hypermotard adalah enjin Testastretta 11˚ tiga silinder berkapasiti 937 cc yang menjana 114 hp pada 9,000 rpm dan 96 Nm pada 7,250 rpm. Dengan casis dan pakej elektronik yang canggih, ia sesuai untuk litar, jalan berliku dan bandaraya.
Multistrada 1260 Enduro (RM138,900)
Dibangunkan untuk pengembaraan off-road, Multistrada 1260 Enduro didatangkan dengan pelbagai teknologi Ducati yang canggih seperti Bosch Cornering ABS, Ducati Traction Control, Ride by Wire, Ducati Wheelie Control dan Ducati Skyhook Suspension (DSS) Evolution.
Ia dikuasakan oleh enjin Testastretta 1,262 cc yang dipadankan dengan sistem Desmodromic Variable Timing (DVT) bagi mencapai prestasi optimum tanpa mengira kelajuan. Ducati Quick Shift (DQS) pula membolehkan penunggang menukar gear tanpa perlu menekan klac, menjadikan tunggangan lebih mudah.
Multistrada 950 S (RM95,900)
Buat pertama kalinya, Multistrada 950 kini boleh didapati dalam versi S yang membawa pelbagai teknologi dan kelengkapan canggih untuk prestasi dan keselesaan.
Antara ciri-ciri yang ada pada model ini termasuklah sistem Bosch IMU (Inertial Measurement Unit) 6-paksi, Bosch Cornering ABS, Vehicle Hold Control (VHC), Ducati Quick Shift (DQS) dan Ducati Skyhook Suspension (DSS). Terdapat juga lampu utama LED, paparan TFT 5 inci, sistem bebas tangan, Cruise Control dan sistem HMI yang dinaik taraf.
Barisan Ducati Scrambler (dari RM52,900)
Bagi 2019, barisan Scrambler merangkumi empat model iaitu Icon, Full Throttle, Desert Sled dan Cafe Racer. Setiap satu telah dipertingkatkan dari segi gaya dan kelengkapan yang tersendiri.
Untuk ketenangan minda penunggang, setiap model kini dilengkapi dengan Bosch Cornering ABS yang memaksimumkan keselamatan semasa membrek. Turut disertakan adalah lampu nyalaan siang LED dan lampu isyarat membelok LED, selain suis baru yang lebih mudah digunakan dan paparan instrumen LCD yang memaparkan pelbagai maklumat termasuk tahap bahan api.
No Comment