Isuzu Perluas Barisan Trak Komersial
Isuzu Malaysia memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai sebuah jenama trak terkenal di Malaysia melalui pengenalan barisan model dan varian bagi trak Elf dan Forward. Ia akan mula dijual untuk pasaran tempatan pada suku ketiga 2019 nanti.
Isuzu Malaysia akan mempunyai 19 varian bagi model Elf yang merangkumi versi empat roda, enam roda, 4×4 dan Crew-Cab, menjadikannya barisan jentera komersial dengan pilihan paling banyak dalam pasaran ketika ini.
Bagi memenuhi keperluan perniagaan yang banyak menggunakan pengangkutan mereka di dalam bandar dengan keadaan trafik sesak, model trak yang dilengkapi dengan ciri ‘Smoother’, iaitu varian dengan Automated Manual Transmission (AMT) enam kelajuan turut ditawarkan.
Isuzu Malaysia turut memperkenalkan tiga varian Crew-Cab dengan empat model secara keseluruhan dalam barisan model 2019. Jentera Crew-Cab Isuzu direka di pusat R&D Isuzu menggunakan teknologi terkini, dibina serta dipasang sepenuhnya di kilang Isuzu. Ia menepati piawaian ECE tertinggi serta dilindungi oleh jaminan penuh oleh Isuzu sendiri.
Barisan trak Forward turut dipertingkatkan bagi versi 2019 dengan casis yang lebih kukuh dan prestasi lebih baik. Sebagai contoh, model FVR34 kini berkapasiti GVW sebanyak 19 tan (berbanding kapasiti 18 tan ketika ini) dengan kapasiti gandar hadapan turut dipertingkatkan kepada 7,500 kg. Ia juga dilengkapi dengan ABS.
Model FVR300 pula menampilkan enjin 6HK-TC dengan 300 PS dan 986 Nm, serta transmisi Eaton yang mempunyai sembilan kelajuan dan gear rendah ‘crawler’ untuk permukaan laluan yang mencabar.
Isuzu Malaysia juga mengekalkan model popular FVR240 dalam barisan terbaru ini bagi mereka yang memerlukan kapasiti kargo yang luas, tetapi untuk kegunaan jarak dekat, misalnya seperti perniagaan trak makanan atau untuk tujuan mengangkut perabot.
Naik taraf lain pada barisan trak Forward termasuk altenator dengan kapasiti yang lebih besar yang mampu memenuhi keperluan penggunaan kuasa peralatan elektrik ampere tinggi.
No Comment