Kia Seltos – SUV Kompak Untuk Pasaran Global
SUV kompak terbaru Kia iaitu Seltos telah dilancarkan di India, di mana ia akan dipasang di kilang pengeluaran Kia yang terletak di Andhra Pradesh.
Selain India, Seltos juga akan memasuki pasaran global bermula suku kedua tahun ini. Bagi tujuan ini, model baru itu akan dipasang Gwangju, Korea.
Dari segi penampilan, Seltos memfokuskan reka bentuk sporty dan sofistikated dalam pakej yang kompak. Ia menampilkan rekaan jeriji ‘hidung harimau’, lampu LED pada bahagian hadapan dan belakang, lampu nyalaan siang dan lampu kabus LED serta lampu isyarat 3D. Bergantung pada varian, Seltos ditawarkan dengan pilihan rim 16, 17 dan 18 inci.
Bahagian dalaman dikatakan direka untuk golongan pembeli yang muda dan celik teknologi. Pelbagai kelengkapan disertakan secara standard termasuk skrin sentuh berukuran 10.25 inci, ciri Sound Mood Lighting dan Head Up Display berukuran lapan inci. Sistem audio Bose dengan lapan pembesar suara turut ditawarkan.
Bagi sistem infotainmen, Seltos menampilkan UVO Connect yang menggunakan SIM kad untuk mendapatkan data seperti maklumat trafik, ramalan cuaca dan pelbagai lagi. Sistem ini juga mempunyai perkhidmatan lain seperti pemberitahuan dan pengesanan kereta curi, pemberitahuan keselamatan dan bantuan kecemasan. Perkhidmatan ini adalah percuma untuk tiga tahun pertama.
Pilihan enjin yang ditawarkan adalah enjin turbo 1.6-liter T-GDI dengan 177 PS, enjin NA 2.0-liter dengan 149 PS dan enjin diesel 1.6-liter dengan 136 PS. Bergantung pada pasaran, Seltos boleh didapati dalam versi automatik klac berkembar DCT tujuh kelajuan, automatik enam kelajuan dan CVT. Sistem Drive Mode Select membolehkan pemandu memilih mod yang bersesuai dengan keadaan jalan iaitu Normal, Eco dan Sport.
Dalam aspek keselamatan, Seltos menampilkan rangka dengan kandungan keluli berkekuatan tinggi (AHSS) yang tinggi untuk mengurangkan gegeran dan meningkatkan perlindungan penumpang jika berlaku kemalangan. Ia juga dilengkapi dengan enam beg udara serta sistem keselamatan lain seperti ABS, Vehicle Stability Management, Traction Control, Brake-force Assist, Hill-Start Assist Control dan sensor parkir.
No Comment