Mazda Umum Spesifikasi Enjin Skyactiv-X
Mazda akhirnya mendedahkan spesifikasi enjin Skyactiv-X dalam Mazda3 baharu yang telah mula memasuki pasaran Eropah.
Menampilkan teknologi Spark Plug Controlled Compression Ignition (SPCCI), enjin petrol berkapasiti 2.0-liter empat silinder itu dikatakan enjin pertama di dunia yang menggabungkan pencucuhan percikan api enjin petrol dengan penyalaan mampatan enjin diesel.
Ini memberikannya output berjumlah 180 PS pada 6,000 rpm dan 224 Nm pada 3,000 rpm, dengan tahap penggunaan bahan api 4.3 liter bagi setiap 100 km dan pelepasan CO2 96 gram setiap km. Menurut Mazda, enjin ini mempunyai nisbah mampatan 16.3:1 dan boleh menggunakan petrol RON 95.
Selain itu, Mazda3 Skyactiv-X juga dilengkapi dengan teknologi Mazda M Hybrid secara standard. Ia secara asasnya merupakan sistem mild-hybrid 24V yang ditugaskan untuk mengumpul semula tenaga kinetik yang hilang semasa nyahpecutan dan menyalurkannya kepada sebuah motor elektrik yang membantu enjin semasa melakukan pecutan.
Bagi pasaran Eropah, Mazda3 boleh didapati dengan transmisi manual enam kelajuan atau automatik enam kelajuan, manakala sistem pacuan semua roda Mazda-i Activ ditawarkan secara pilihan.
No Comment