McLaren 720S Ride-On Khas Untuk Pemandu Cilik
McLaren telah memperkenalkan model terbaru dalam barisannya iaitu 720S ‘Ride-On’. Apa yang menjadikan model ini berbeza adalah ia hanya boleh dipandu oleh kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun.
Walaupun ia hanya kereta mainan kanan-kanak, 720S Ride-On didatangkan dengan pelbagai elemen yang bakal menjadikan anak anda tumpuan ramai di taman permainan.
Misalnya, ia mempunyai pintu ‘dihedral’ yang dibuka ke atas, selain kemasan ala karbon dan reka bentuk asal 720S yang sememangnya menarik perhatian.
Lebih menarik lagi, ia turut mempunyai sistem infotainmen tersendiri lengkap dengan beberapa butang kawalan dan muzik kanak-kanak. Tetapi jika anak-anak anda mempunyai muzik pilihan masing-masing, port USB dan slot kad SD turut disertakan.
Seperti P1 Ride-On yang diperkenalkan pada 2016, 720S Ride-On digerakkan oleh sebuah motor elektrik yang dioperasikan menerusi pedal kaki. Apabila ia ditekan, bunyi ‘enjin’ akan dipancarkan melalui pembesar suara untuk pengalaman bermain yang lebih menyeronokkan. Bagaimanapun, ibu bapa masih boleh mengawal kereta ini secara autonomi menerusi alat kawalan jauh.
Dijual pada harga £315 (RM1,653), 720S Ride-On boleh didapati dalam warna Azores Orange, Belize Blue, Lantana Purple, Onyx Black, Mauvine Blue, Silica White, dan Saros Grey. Warna eksklusif Papaya Spark hanya akan ditawarkan bermula hujung tahun ini.
No Comment