Mercedes-AMG CLA 35 Shooting Brake Diperkenalkan
Mercedes-AMG CLA 35 Shooting Brake telah diperkenalkan secara rasmi dan secara peribadi, penulis merasakan versi ini lebih seksi berbanding versi Coupe empat pintu yang diperkenalkan pada April lalu.
Seperti yang dijangka, Shooting Brake menampilkan ciri-ciri mekanikal yang sama iaitu enjin M260 2.0-liter empat silinder yang menghamburkan 306 hp pada 5,800 rpm dan 400 Nm dari 3,000 hingga 4,000 rpm.
Enjin itu mungkin tidak sehebat versi M139 yang akan digunakan pada versi 45, namun ia masih mampu memacu Shooting Brake dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.9 saat dengan kelajuan maksimum yang dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.
Prestasi ini dibantu oleh kotak gear klac berkembar AMG Speedshift 7G dan sistem pacuan semua roda 4Matic. Menurut Mercedes, transmisi tersebut didatangkan dengan fungsi Race Start yang membolehkan pemandu memecut secara maksimum dari pegun.
Terdapat lima program pemanduan AMG Dynamic Select untuk dipilih iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual. Program-program tersebut meliputi beberapa aspek jentera ini seperti enjin dan transmisi, stereng dan ESP, serta casis (jika dilengkapi dengan sistem gantungan AMG Ride Control).
Selain itu, Shooting Brake turut dilengkapi dengan sistem brek berprestasi tinggi dengan cakera berukuran 350 mm (hadapan) dan 330 mm (belakang), sistem stereng sport elektro mekanikal yang sensitif kelajuan dan sistem ekzos AMG.
No Comment