Mercedes-Benz S560e Plug-in Hybrid Masuk Pasaran Malaysia
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini melancarkan satu lagi varian dalam barisan S-Class iaitu S560e. Dipasang secara tempatan, ia juga merupakan S-Class pertama dengan pacuan plug-in hybrid.
Menampilkan gabungan enjin petrol V6 dengan 367 hp dan kuasa elektrik EQ Power dengan 122 hp, model mewah ini mempunyai kuasa keseluruhan berjumlah 476 hp dan 700 Nm. Ia mempunyai jarak pemanduan elektrik sejauh 50 km dengan adanya bateri lithium-ion berkapasiti 13.5 kWh.
Dengan transmisi automatik 9G-Tronic Plus, S560e hanya memerlukan lima saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dan boleh mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.
Model ini juga menampilkan mod Eco Assist yang bertujuan untuk membantu pemandu mendapatkan pemanduan yang paling efisyen menerusi pedal pemecut haptic. Untuk terus memotivasi pemandu untuk mengikuti cadangan Eco Assist, komputer on-board akan merakam jarak dan jumlah masa kereta dipandu tanpa menggunakan kuasa enjin.
Sebagai ahli barisan S-Class, model ini menampilkan kemewahan dan keselesaan yang setanding dengan model-model S-Class yang lain. Bahagian dalaman dihiasi dengan upholsteri kulit Nappa, pakej trim Exclusive dan kemasan kayu walnut berkilat.
Ia juga didatangkan dengan pakej Chauffeur yang merangkumi tempat duduk Chauffeur bagi penumpang hadapan, perehat kepala Easy Adjust dan perehat kaki boleh laras. Turut disertakan adalah tempat duduk eksekutif multi-contour bagi penumpang belakang.
Kelengkapan mewah lain yang ada termasuklah Pre-Entry Climate Control yang ditugaskan untuk mengawal suhu penyaman udara dan pemanas untuk keselesaan maksimum sebelum memulakan perjalanan.
S560e akan dijual dengan harga bermula dari RM658,888. Ia boleh dimiliki dengan bayaran bulanan sebanyak RM6,588 menerusi Agility Financing.
No Comment