Pelancaran BMW M2 Competition Di Malaysia
Kami difahamkan bahawa BMW Malaysia telah menganjurkan acara pemanduan kereta-kereta varian M mereka di litar Sepang kelmarin bersempena dengan pelancaran BMW M2 Competition terbaharu mereka. Adakah BMW M2 ini seperti yang digembar-gemburkan. Kami tidak dapat memastikannya tetapi di bawah ialah kenyataan media mereka.
Enjin sebaris enam silinder dengan M TwinPower Turbo Technology dikatakan boleh menjana 410 kk (kuasa kuda) dan memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 4.2 saat. dan kelajuan tertinggi 250km/j.
Harga BMW M2 Competition Terbaharu – RM 626,800.00
Kenyataan Media
28 Jun 2019
BMW Malaysia Memperkenalkan BMW M2 Competition Terbaharu.
Kereta sport kompak berprestasi tinggi yang paling dinanti-nantikan dicipta oleh BMW M ini bakal menyuntik keterujaan dalam jiwa para penggemar sukan permotoran premium di seluruh negara.
Cyberjaya, 28 Jun 2019 – BMW Malaysia telah mengambil peluang pada hari ini untuk merungkaikan BMW M2 Competition terbaharu, sebuah kenderaan berprestasi premium yang bakal mencabar batasan dan memecah rekod baharu dalam aspek pemanduan yang jitu.
Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Simbol ‘M’ bersinonim dengan ‘kuasa’ dan dari generasi ke generasi, ia telah melambangkan keterujaan pemanduan sport yang ditawarkan sejak sekian lamanya. Setiap kali generasi M yang terkini dilahirkan, tanda aras yang baharu akan terpahat dalam arena sukan permotoran. Dengan unjuran penghormatan yang diberikan kepada jentera BMW pertama bernadikan pengecas turbo yang diperkenalkan pada tahun 1973, BMW M2 Competition terbaharu dibangunkan menerusi legasi BMW 2002 Turbo untuk merungkaikan sebuah hasil karya sukan permotoran yang tulen untuk generasi ini.”
BMW M2 Competition terbaharu menjangkau batasan untuk mencontohi legasi BMW M. Dirumus untuk melakar kejayaan dalam segmen kenderaan seumpamanya, BMW M2 Competition terbaharu telah membuktikan kredibilitinya di atas litar lumba dengan melengkapkan pusingan pecutan dalam masa 7:54 minit di Litar Lumba Nurburgring Nordschleife.
“Pada tahun ini, BMW M2 Competition yang terbaharu muncul sebagai pemenang acara Automobile All-Stars yang telah berlangsung pada bulan Mac yang lalu. Ia juga tercalon untuk anugerah 2018 Evo Car of the Year,” ujar Hoelzl.
BMW M2 Competition yang terbaharu memiliki semua ramuan yang diperlukan untuk menjadikannya sebuah jentera pemecah rekod: ia menunjangkan enjin baharu yang berasaskan unit kuasa digunakan dalam BMW M3 dan BMW M4. Enjin sebaris enam silinder dengan M TwinPower Turbo Technology tersebut mampu menjana 410 kk (kuasa kuda) dan memecut dari kelajuan 0 hingga 100 km/j dalam masa 4.2 saat. Buat julung kali, pemandu BMW M2 Competition terbaharu ini juga dapat menggunakan dua suis tetapan yang terletak di konsol sentral untuk mengubah perwatakan dan tetapan fungsi enjin, stering dan Drivelogic.
Keterampilan luar biasa dirumus untuk kelajuan.
Bahasa reka bentuk bahagian eksterior BMW M2 Competition melihatkan peralihan yang halus daripada iterasi jentera sepertinya yang terdahulu. Skirt hadapan baharu dengan salur masuk udara yang diubah suai mengoptimumkan saliran udara ke komponen sistem penyejukan yang canggih, sambil menambah baik keterampilan visual jentera ini.Gril ‘kidney’ BMW yang lebih besar hadir dalam warna hitam berglos tinggi, begitu juga dengan insang sisi di sayap hadapannya untuk mewujudkan profil serba ‘sporty’ yang tersendiri untuk jentera ini. Di samping itu, kenderaan ini turut dilengkapi dengan lampu hadapan LED yang klasik.
Penambahan sangga cermin sisi ‘M-specific’ memperbaiki ciri aerodinamik BMW M2 Competition yang terbaharu. Garisan ‘shadow’ berglos tinggi yang dibawakan oleh BMW Individual menyerlahkan perwatakan BMW M2 Competition sebagai sebuah jentera yang istimewa daripada BMW M Division.
BMW M2 Competition yang terbaharu juga didatangkan dengan sistem ekzos baharu yang dikemas kini. Hadir dalam reka bentuk dwicabang, ia menampilkan komponen peredam bunyi serta empat paip ekzos, dalam warna krom hitam, menandakan entitinya sebagai sebuah model jentera BMW M. Dua flap yang dikawal secara elektrik memastikan BMW M2 Competition berupaya untuk menyampaikan nada BMW M yang tersendiri, pemandu boleh mengawalnya dengan memilih mod pemanduan menggunakan M Dynamic Performance Control – dengan menekan suis tetapan di konsol sentral.
Kuasa tulen dengan enjin yang tersohor.
Kejuruteraan semula yang dibuat secara signifikan menyaksikan kemajuan yang diterapkan pada jantung kenderaan ini. Dengan menampilkan enjin S55 BMW M yang dioptimumkan berasaskan unit kuasa BMW M3 dan BMW M4, ia mampu menjana 410 kk pada tahap 7,000 rpm, iaitu peningkatan sebanyak 40 kk berbanding model terdahulu. Ia juga mampu mencapai puncak tork berjumlah 550 Nm pada tahap 2,350-5,230 rpm, iaitu 85 Nm lebih tinggi berbanding iterasi kenderaan yang terdahulu. Enjin petrol sebaris enam silinder yang berkapasiti tiga liter ini membawakan prestasi yang paling mengagumkan setakat ini. Ia membolehkan BMW M2 Competition terbaharu memecut dari kelajuan 0 hingga 100 km/j dalam masa 4.2 saat, dan mampu mencecah kelajuan tertinggi berjumlah 250 km/j.
M Double Clutch Transmission tujuh kelajuan dengan Drivelogic melengkapi BMW M2 Competition yang terbaharu. Sistem tersebut menggabungkan dua kotak gear secara efektif, setiap satu daripadanya memiliki klac yang tersendiri dan ia membolehkan penukaran gear dilakukan dengan lancar tanpa mengganggu aliran kuasa. Dalam mod automatik serta manual, Drivelogic membolehkan pemandu memilih mana-mana program pemanduan yang ditetapkan: Comfort, Sport dan Sport+.
Penambahbaikan yang lain meliputi sistem pelinciran, termasuk pelitup penakung minyak yang menghadkan pergerakan bahan pelincir ketika olahan pemanduan dibuat secara mengejut. Peredaran minyak yang tidak terganggu dikendalikan oleh pam pengekstrakan minyak serta sistem pengembalian minyak yang canggih terletak berhampiran dengan komponen pengecas turbo. Sistem penyejukan BMW M2 Competition terbaharu juga diperkayakan dengan penyejuk minyak transmisi yang menjamin suhu pengoperasian ideal di atas jalan raya dan di litar lumba.
Menyuntik keterujaan dengan kerangka baharu.
Pembangunan BMW M2 Competition terbaharu meletakkan dinamik pemanduan berkuasa tinggi dan ciri pengendalian cemerlang sebagai fokus utama rekaannya. Kita juga dapat melihat pengoptimuman karakteristik casis BMW M2 Competition untuk meningkatkan prestasi enjin tersebut.
Kompartmen enjin ini menyelindungkan komponen yang paling menarik: sangga CFRP bertepatan tinggi yang menawarkan kejituan maksimum dalam aspek pengendalian – rentetan daripada penggunaan palang karbon yang mengoptimumkan tahap keteguhan seksyen hadapan. Walaupun bersaiz besar, ia hanya menambah 1.5 kg ke atas berat keseluruhan kereta tersebut yang berjumlah 1,575 kg. Casis berprestasi tinggi berkenaan juga menampilkan gandar aluminium ringan di hadapan dan belakang yang dibawa daripada BMW M3 dan BMW M4. Lokasi dan kestabilan penjajaran (tracking stability) roda turut dioptimumkan dengan kerangka belakang yang berinspirasikan sukan permotoran serta lengan kawalan yang diperbuat daripada aluminium.
Fungsi Servotronic yang diintegrasikan dengan karakteristik ‘M-specific’ pula dapat mengawal tahap bantuan yang ditawarkan untuk aspek stering secara elektronik mengikut kelajuan kereta tersebut dan tetapan yang dibuat menerusi Drivelogic. Ia membolehkan pemandu menyesuaikan tahap bantuan stering kuasa (power steering) pada bila-bila masa mengikut kemahuan pemandu. Drivelogic boleh dikawal menggunakan suis tetapan yang terletak di konsol sentral kenderaan tersebut.
Sistem Kawalan Stabiliti Dinamik (“Dynamic Stability Control” atau “DSC”) yang dikalibrasikan semula memberi kadar cengkaman dan kawalan yang lebih baik di atas jalan yang licin buat BMW M2 Competition yang terbaharu. Fungsi tersebut turut disokong oleh BMW Active M Differential, sebuah diferensial dikawal secara elektronik yang menghadkan kegelinciran, ia membawakan aspek cengkaman dan stabiliti berarah dengan tahap kejituan dan kelajuan yang lebih tinggi. Kuasa pengunci penuh yang mencecah 2,500 Nm juga tersedia dalam masa 150 milisaat, sistem tersebut dapat mengelakkan roda jentera ini berputar secara tidak terkawal dalam situasi yang berbahaya.
M Dynamic Mode (MDM) merupakan sub-fungsi DSC yang boleh diaktifkan secara automatik dalam mod SPORT+, atau diaktifkan secara manual. Mod berkenaan membenarkan tahap putaran roda yang lebih tinggi dalam situasi pemanduan sport, sekali gus memberikan pemandu kebebasan untuk mencabar batasan dinamik jentera ini sebelum DSC memainkan peranannya.
Selain itu, BMW M2 Competition terbaharu dilengkapi dengan brek M Compound yang hadir dengan angkup brek berwarna biru metalik yang ikonik, iaitu ‘M blue’, ia bersertakan gelung cakera brek yang berleliang dalam bentuk besi berwarna kelabu. Brek M Compound ini menawarkan nilai nyahpecutan yang luar biasa dan ia sangat stabil, berat yang dicatat olehnya juga lebih ringan berbanding brek-brek konvensional yang lain. Justeru, ia meningkatkan tahap kelincahan, dinamisme dan pecutan tanpa mengkompromikan ciri keselamatan dan ketahanannya. BMW M2 Competition mengenakan set roda aloi ringan ‘M’ bersaiz 19” dalam penggayaan double-spoke 437 M.
Bantuan tambahan menerusi gaya ‘M’ klasik.
Bahasa reka bentuk eksterior BMW M2 Competition yang menawan juga dicerminkan di ruang dalam. Sebaik sahaja pemandu memasuki kenderaan ini, lencana M2 Competition yang tersendiri dapat dicam di ambang pintu kenderaan berkenaan. Kemudian, pemandu boleh menyelesakan diri mereka di atas kerusi M Sport yang membawakan iluminasi logo M2 pada tempat sandar, dan pengguna dapat menyaksikan sulaman klasik ‘M’ yang diterapkan pada tali pinggang keledar kenderaan ini. Bukan itu sahaja, penyaman udara dua zon juga ditawarkan sebagai standard untuk keselesaan maksimum buat para penumpang. Kluster instrumen dengan Black Panel Technology terletak di jarak yang sesuai untuk dilihat oleh pemandu berhampiran dengan stereng berkulit ‘M’ didatangkan dengan butang M1 dan M2 yang menawarkan akses langsung ke atas mod pemanduan Comfort dan Sport yang telah diprogramkan. Butang mula/henti yang berwarna merah pula menyinambungkan warisan sukan permotoran jentera alaf baharu ini.
Terletak pada trim interior gentian karbon ialah sistem maklumat hibur dalam bentuk paparan ‘Navigation system Professional’ bersaiz 8.8” dengan skrin sesentuh. Ia hadir dengan jam randik khas, BMW M Laptimer untuk menawarkan telemetri sukan permotoran yang diperkayakan buat para pemandu. Sistem pembesar suara HiFi Harman Kardon pula dapat mengiringi pemandu dengan penawaran hiburan bunyi yang sempurna. Di samping itu, tahap kemudahan juga dinaik taraf menerusi penambahan Comfort Access dan tempat sandar kerusi belakang dengan pembahagian 60:40.
Ciri-ciri bantuan pemandu ditawarkan dalam bentuk Kawalan Luncur (Cruise Control) dengan fungsi pembrekan pintar serta Kawalan Jarak Parkir (Park Distance Control) di bahagian hadapan dan belakang untuk membantu pemandu memarkir dan membuat olahan.
BMW M2 Competition baharu disediakan dalam warna putih (Alpine White), hitam metalik (Black Sapphire Metallic), biru metalik (Long Beach Blue Metallic) atau perak metalik (Hockenheim Silver Metallic) digandingkan dengan upholsteri ‘Black Leather Dakota’ bersama sulaman warna kontras biru, atau dalam warna oren metalik (Sunset Orange Metallic) digandingkan dengan ‘Black Leather Dakota’ bersama sulaman warna kontras oren. BMW M2 Competition terbaharu akan tersedia di semua premis wakil pengedaran BMW yang bertauliah di seluruh negara bermula Jumaat, 28 Jun 2019.
Program pembiayaan dinamik.
Dengan ‘Balloon Financing Plan’ yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW M2 Competition yang terbaharu boleh dimiliki dengan pelan ansuran bulanan bermula daripada RM 7,158.00 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun).
Pengalaman pemilikan premium yang menyeluruh.
Pemilik BMW M2 Competition terbaharu dapat menikmati pengalaman Pemilikan Premium yang ditawarkan oleh BMW Group Malaysia, dan ia meliputi:
- Waranti Perbatuan Tanpa Had Bertempoh 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma
- Program Waranti Tayar Bertempoh 2 Tahun/24 Bulan oleh BMW untuk penawaran dan servis ‘Run Flat Tyre’
- Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW
- Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’ – BMW White Card
- Servis Dalam Talian BMW
Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans, dan bersama penawaran BMW Group Malaysia bagi Waranti Perbatuan Tanpa Had Bertempoh 5 Tahun, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW) BMW M2 Competition yang terbaharu ialah:
BMW M2 Competition Terbaharu – RM 626,800.00
No Comment