Pertandingan Pemasaran Proton Asah Bakat Mahasiswa
Proton menganjurkan pertandingan pemasaran untuk pelajar-pelajar universiti di mana peserta-peserta digalakkan memberi idea luar biasa dan mengadakan aktiviti melibatkan kemasyarakatan.
Kenyataan Media
Subang Jaya, 18 Jun 2019 – Pengalaman mungkin adalah sesuatu perkara tidak dapat diganti tetapi pelbagai idea hebat telah dicurahkan melalui pemikiran yang muda dan bersemangat. Dengan hasrat untuk mengetengahkan lagi kreativiti ini, PROTON telah memulakan usaha dari seluruh negara untuk mencari mahasiswa yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang berkualiti bagi mengetuai kempen pemasaran yang bermakna berteraskan SUV pintar pertama di Malaysia iaitu Proton X70. Pertandingan ini dinamakan sebagai Pertandingan Kepintaran yang Memberi Inspirasi atau Intelligence that Inspires Challenge, diambil dari slogan PROTON untuk SUV eksekutif C-segmen paling popular, iaitu Intelligence that Inspires.
Pertandingan yang berasaskan Kemasyarakatan
Untuk mempamerkan bukan sahaja kreativiti malahan keupayaan pelaksanaan dalam melakukan kerja, pertandingan ini memberi kuasa kepada pelajar universiti untuk menganjurkan kempen pemasaran berskala besar. Ini secara tidak langsung berfungsi sebagai platform bagi mereka untuk belajar dengan mengalami sendiri semua aspek perlaksanaan pelan pemasaran disamping turut membolehkan mereka membina hubungan interpersonal dan menonjolkan kreativiti mereka. Apa yang lebih penting lagi, pertandingan ini turut mengasah kemahiran yang diperlukan untuk mencapai kecemerlangan dalam industri automotif yang bergerak pantas terutama ketika bekerja dengan sebuah jenama terkemuka seperti PROTON.
Pertandingan yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran ini telah bermula pada bulan April dan akan berlangsung sehingga akhir bulan Julai. Pertandingan ini dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu Pusingan Penyingkiran, Separuh Akhir dan Pusingan Akhir. Dengan tujuan untuk membina bakat di kalangan pelajar pendidikan tinggi, pihak Syarikat dan Kementerian Pendidikan mempunyai matlamat yang sama untuk mempromosikan kemahiran keusahawanan oleh para pelajar ini.
Sebanyak 51 kumpulan dari 20 institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia telah mendaftar menyertai pertandingan ini. Tahap Pertama memerlukan peserta merangka pelan pemasaran untuk PROTON bagi mengekalkan kedudukan Proton X70 sebagai SUV terbaik Malaysia, serta bagaimana PROTON boleh mewujudkan aktiviti melibatkan orang ramai yang lebih baik. Daripada 51 kumpulan yang bertanding, hanya 19 kumpulan dipilih untuk ke peringkat kedua. Segala usaha kemudiannya dilakukan untuk memastikan mereka dapat melayakkan diri sehingga ke peringkat akhir yang dijadualkan pada 23 Julai bertempat di Pusat Kecemerlangan PROTON di Shah Alam di mana para peserta akan dihakimi oleh panel pakar, termasuklah pakar terkemuka dalam bidang pemasaran.
Untuk merebut gelaran juara, para peserta perlu merancang dan menggerakkan kempen mereka untuk Proton X70 di bandar di mana terletaknya universiti mereka, serta menganjurkan dan melaksanakan aktiviti kemasyarakatan secara menyeluruh di bandar dan/atau daerah masing-masing. Melalui program ini, Syarikat dan para peserta akan bekerjasama untuk berbakti kepada komuniti dan komited untuk meningkatkan kualiti hidup di Malaysia. Di samping itu, mereka juga ditugaskan untuk menyediakan pelan kekal yang boleh dilaksanakan yang akan menjurus kepada penjualan SUV di pelbagai bandar di seluruh Malaysia. Kerja berpasukan di kalangan para peserta sangat penting kerana tugas-tugas yang dilakukan adalah sangat kompleks untuk diselesaikan oleh hanya seorang sahaja.
Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON berkata: “Saya yakin bahawa ciri kepimpinan harus dipupuk dari usia muda lagi, jadi melalui pertandingan ini kami berharap dapat memberikan peluang kepada para pemimpin generasi akan datang dari universiti-universiti di Malaysia ini untuk menyerlah ke peringkat kebangsaan dan dapat melengkapkan mereka dengan pelbagai kemahiran untuk mencapai kecemerlangan di dalam dunia korporat. Kami juga berharap dapat mengasah kemahiran komunikasi yang kuat di kalangan peserta muda kerana ianya adalah asas untuk bekerja dengan berkesan dalam satu kumpulan.
“Ianya tidak menghairankan apabila kami menamakan pertandingan ini sebagai Intelligence that Inspires Challenge kerana kami mahu membuatkan para peserta untuk keluar dari zon selesa mereka dan menghasilkan satu kempen yang berkesan, yang akan memberikan pelbagai pengalaman yang relevan dan meletakkan asas yang baik apabila mereka memasuki fasa pekerjaan kelak,” ujarnya.
Diinspirasikan oleh Proton X70
Proton X70 adalah kereta pertama yang dibangunkan bersama oleh PROTON dan Geely, dan model ini merupakan SUV premium pertama yang dikeluarkan oleh jenama automotif Malaysia. Kini, model ini dicatatkan sebagai SUV premium terlaris di Malaysia dan dilengkapi dengan sistem infotainmen pintar menggunakan arahan suara dan berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris untuk mengakses pelbagai fungsi termasuklah hiburan, navigasi dan fungsi-fungsi mekanikal.
No Comment