Perodua Axia Kini Di Seychelles
Ya. Perodua Axia kini dijual di Seychelles dan pengedar/servis yang dilantik ialah SF Hybrid Motors Pty Ltd. Harga promosi masing-masing 235,000 (*RM71,500), 265,000 (*RM80,600), 275,000 (*RM83,700) dan 290,000 (*RM88,300) Rupee Seychellois.
Sebelum ini Perodua telah mengeksport ke Mauritius, di mana lebih 3,000 unit kenderaannya telah dijual sejak 1996.
Kenyataan Media
Victoria, 28hb Jun: Perodua telah melancarkan Axia di Seychelles, menandakan kemasukan jenamanya ke negara kepulauan itu.
Dilancarkan di Hotel Eden Bleu malam tadi, Perodua Axia ditawarkan di sana dalam varian E MT, G AT, SE dan AV, dengan harga promosi masing-masing 235,000 (*RM71,500), 265,000 (*RM80,600), 275,000 (*RM83,700) dan 290,000 (*RM88,300) Rupee Seychellois.
Semua varian dikuasakan oleh enjin 1.0 liter 1KR-VE dengan intelligent variable valve timing yang disambungkan kepada transmisi manual lima-kelajuan bagi varian E MT dan transmisi automatik empat-kelajuan bagi varian-varian yang lain.
“Kami sangat teruja untuk mengeksport kenderaan kami ke Seychelles kerana ia memberi peluang kepada kami untuk memperkenalkan jenama Perodua kepada masyarakat berbilang bangsa yang berkunjung ke negara ini untuk bercuti.
“Kami percaya bahawa ini akan memanfaatkan pasaran eksport masa hadapan kami,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato’ Dr Zahari Husin.
Perodua telah melantik SF Hybrid Motors Pty Ltd sebagai pengedar rasminya di Seychelles bagi mengendalikan jualan dan lepas jualan di sana.
“Perodua dan SF Hybrid Motors baru-baru ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman bagi memasarkan model Perodua di Seychelles kepada pembeli individu dan fleet,” kata Dato’ Dr Zahari.
Di benua Afrika, Perodua juga mengeksport ke Mauritius, di mana lebih 3,000 unit kenderaannya telah dijual sejak 1996.
“Kami akui bahawa prestasi eksport kami masih tidak signifikan pada masa ini, namun kami gigih berusaha untuk mengembangkan perniagaan kami.
“Kami sedang bekerjasama dengan rakan teknikal dan teknologi kami, Daihatsu Motor Company of Japan, dengan memanfaatkan pengalaman dan rangkaian mereka untuk merancangkan eksport yang lebih mampan dan menguntungkan,” kata Dato’ Dr Zahari.
Beliau menambah bahawa Seychelles adalah destinasi popular bagi pelancong Eropah dan Afrika dan ini akan membuka lebih banyak peluang eksport melalui pendedahan jenama Perodua.
“Kami amat berbesar hati untuk membawa Perodua ke Seychelles. Kami percaya kepada Perodua dan oleh itu kami menawarkan waranti tiga tahun sehingga 100,000 km. Perodua Axia amat sesuai untuk pasaran Seychelles – ia menawarkan gaya, keselamatan, ciri-ciri pintar serta kos pemilikan, servis dan alat ganti yang rendah,” kata Pengarah SF Hybrid Motors Christophe Larue.
Seychelles adalah sebuah negara kepulauan yang terdiri daripada 115 pulau di Lautan Hindi, sebelah timur daratan Afrika.
*Penukaran mata wang Rupee Seychellois ke Ringgit Malaysia ketika siaran media dikeluarkan
No Comment