Art of Speed 2019 Catat 55,000 Pengunjung
Tahun ini merupakan tahun kelapan berturut-turut acara Art of Speed (AOS) diadakan. Seperti tahun-tahun sebelumnya, AOS 2019 menjadi medan berkumpul dan beramah mesra buat peminat-peminat ‘Ol-Skool & Kustom Kulture’ bukan sahaja dari Malaysia dan Asia Tenggara khususnya, tetapi juga dari Jepun dan Amerika Syarikat.
Diadakan pada 27 dan 28 Julai 2019 di Malaysia Agro Exposition Park, (MAEPS) Serdang, AOS 2019 merekodkan sejumlah 55,000 pengunjung sepanjang dua hari ia berlangsung, lebih tinggi daripada sasaran awal penganjur iaitu 40,000 pengunjung.
Saban tahun, penganjur AOS 2019 masih mengekalkan tradisi membawa masuk barisan kenderaan vintaj dan ubahsuai yang mengkagumkan dari luar negara. Kenderaan khas yang dipamerkan kepada pengunjung pada acara tahun ini adalah motosikal BMW R9T Custom dari Heiwa Motorcycle (Jepun), Ford Falcon Sedan Delivery 1969 “Pantastic” dari Moon of Japan dan FL Harley-Davidson Custom “StG Nautilus” dari Hot Dock Custom Cycles (Jepun).
AOS 2019 turut menyaksikan kehadiran komuniti kustom antarabangsa dan media seperti Shige Suganuma, Hiro “Wildman” Ishii & Masakazu “PAN” Sumi daripada MOONEYES, Oliver Jones Grayson yang dikenali sebagai The Cutrate (US), Shaik Ridzwan yang dikenali sebagai The Mighty Motor (US), Geoffrey Douglas Baldwin daripada Return of the Café Racers (Australia), Chris Cooper daripada Fuel Tank (Australia), Matthew Everingham daripada Speedhunters.com (Australia) dan ramai lagi.
Art of Speed Invitational Car Build Off 2019 tahun ini dikuasakan oleh Petronas, menyaksikan tujuh pembina khas bersaing untuk hadiah wang tunai RM10,000 (pemilihan juri) dan wang tunai RM5,000 (pilihan awam). Keputusan dari pihak juri memihak kepada The Classic Garage dari Johor Bahru dan pilihan awam ialah Carazee Artwork dari Klang.
Hot Wheels juga berada di AOS 2019 dengan Steve Vandervate, Pengurus Reka Bentuk Global Hot Wheels (Segmen Premium dan Pengumpul). Selain beramah mesra dengan peminat Hot Wheels, beliau turut melancarkan siri ‘Japan Historics 3’, yang akan dikeluarkan pada tahun 2020 di bawah tema ‘Legendary Japanese Cars’.
Hausboom, dengan kerjasama Hot Wheels, mempamerkan kereta rasmi New Beetle Gen 1 berskala 1:1 sebagai hadiah yang diberikan kepada pelanggan Hausboom yang bertuah. Kolaborasi rasmi ini adalah yang pertama seumpanya di Asia. Hadiah kereta tersebut dimenangi oleh Eric Lim dari Kuala Lumpur.
Turut diadakan adalah pameran Vans bertemakan ‘Black Rainbows’ yang memberi penghormatan kepada kasut ‘Era’, klinik papan selaju, pameran denim Hail Vintage dan pameran kereta NoEqual NEAT Fest di dalam Dewan C. Model terbaru Harley-Davidson FXDR 114 juga telah dilancarkan di AOS 2019.
Antara perubahan besar ketara yang telah dibuat oleh penganjur acara AOS 2019 adalah konsert Sound Circus yang dipindahkan ke kawasan luar yang lebih lapang. Barisan artis yang ditampilkan adalah Hujan, Bittersweet, Masdo, Gerhana Ska Cinta, Kapow, Asheed Def Gab C, Kid Search dan Blues Gang.
Melengkapkan pertunjukan acara pada hari Ahad pula adalah sesi cabutan bertuah yang menyaksikan Tham Wei Ping dari Bayan Lepas, Pulau Pinang membawa pulang sebuah Mini Cooper yang telah diubahsuai dengan enjin Suzuki Hayabusa oleh FNG Works.
Para pemenang kategori motosikal dan kereta “Best of Show” memenangi pakej percutian dan akan hadir ke acara 28th Annual MOONEYES Yokohama Hot Rod and Custom Show pada Disember ini sebagai tetamu kehormat.
No Comment