Aston Martin Valkyrie Tunjuk Kehebatan di Silverstone
Selain pertembungan hangat antara Sebastian Vettel dan Max Verstappen dalam saingan Formula 1 Grand Prix 2019, Litar Silverstone pada hujung minggu lalu turut menyaksikan kelibat Aston Martin Valkyrie yang membuat penampilan awam untuk kali pertama sejak ia diumumkan tiga tahun lalu.
Dikemudi oleh pemandu uji Aston Martin iaitu Chris Goodwin, hypercar itu dilihat melakukan beberapa pusingan demonstrasi sebagai penunjuk kepada kemampuannya untuk beraksi di litar lumba. Ia memakai tema warna yang sama dengan jentera F1 Red Bull.
Seperti yang didedahkan oleh Aston Martin pada Mac lalu, Valkyrie akan menampilkan enjin NA berkapasiti 6.5-liter V12 yang dibina dan ditala oleh Cosworth. Dengan redline mencecah 11,000 rpm, enjin tersebut berupaya untuk menghamburkan sehingga 1,000 hp pada 10,500 rpm dan 740 Nm pada 7,000 rpm.
Bagaimanapun, itu bukanlah kuasa sebenar Valkyrie. Dengan bantuan sistem hibrid yang dibangunkan oleh Rimac, ia sebenarnya mempunyai 1,160 hp pada 10,500 rpm dan 900 Nm pada 9,000 rpm. Transmisi automatik tujuh kelajuan keluaran Ricardo ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke roda.
Bukan itu sahaja, jentera ini turut mendapat manfaat daripada teknologi Power Boost dan Energy Recovery System (sistem pemulihan tenaga) seperti yang terdapat pada jentera Formula 1.
Aston Martin hanya akan menghasilkan 150 unit Valkyrie dengan harga kira-kira $3.2 juta setiap satu. Tetapi anda tidak akan dapat membeli jentera ini walaupun anda mampu kerana semua unit sudah habis terjual. Penghantaran dijangka bermula pada suku keempat tahun ini.
No Comment