Audi S8 – Sedan Mewah Berkuasa 563 HP
Dua tahun selepas melancarkan A8 generasi keempat, Audi kini memperkenalkan pula varian berprestasi tinggi yang dikenali sebagai S8.
Tidak seperti A8 yang dikuasakan oleh enjin 3.0-liter V6, S8 menjanjikan prestasi yang lebih mengujakan dengan enjin twin-turbo 4.0-liter V8 yang menghamburkan 563 hp dan 800 Nm. Ini menjadikan perbezaan sebanyak 228 hp dan 300 Nm berbanding A8.
Enjin tersebut dipadankan dengan sistem mild-hybrid 48V yang ditugaskan untuk menguruskan sistem ‘start stop’ dan ‘coasting’, di samping memberikan tahap kecekapan bahan api yang lebih baik. Sistem penyahaktifan silinder turut dilengkapi bagi tujuan yang sama.
Kuasa disalurkan ke kedua-dua gandar menerusi transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda quattro. Audi tidak mendedahkan catatan masa pecutan 0-100 km/j bagi model ini tetapi sekadar mengatakan bahawa ia mampu mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.
Oleh kerana S8 mempunyai badan yang besar dengan jumlah kuasa yang tinggi, ia didatangkan dengan sistem gantungan aktif yang boleh mengawal ketinggian roda secara individu bergantung kepada keadaan permukaan jalan. Ia juga boleh mengehadkan olengan badan (body roll) dari 2.5 hingga 5 darjah, bergantung kepada mod yang dipilih.
Selain quattro, sistem stereng semua roda dan sport differential membantu dalam aspek pengendalian pada kelajuan rendah dan tinggi. Sistem brek karbon seramik dengan cakera berukuran 16.5 inci di hadapan dan 14.6 inci di belakang yang ditawarkan secara pilihan pula memberikan sedan besar ini kuasa membrek yang secukupnya.
Dari segi penampilan, karakter agresif S8 boleh dikatakan tidak terlalu menonjol. Perbezaan S8 dan A8 boleh dilihat menerusi rekaan bampar yang lebih sporty, sistem ekzos quad, rim lebih besar serta lencana ‘S’ pada badan. Bahagian dalaman pula menampilkan kemasan Carbon Vector dengan efek 3D, jahitan corak berlian pada tempat duduk serta lencana S.
No Comment