Chevrolet Corvette Stingray C8 Tampil Dengan Enjin di Tengah
Chevrolet telah memperkenalkan Corvette Stingray C8 baharu dan buat pertama kali sejak 1953, kereta sport Amerika itu didatangkan dengan konfigurasi enjin tengah (mid-engine). Chevrolet turut mengesahkan bahawa ia akan turut ditawarkan dalam versi pemanduan belah kanan untuk pasaran seperti Australia, UK dan sebagainya.
Menurut Chevrolet, peralihan kepada konfigurasi tersebut memberikan Corvette beberapa kelebihan. Bahagian belakang yang lebih berat memberikan prestasi pecutan yang lebih baik, manakala kedudukan pemandu yang lebih dekat dengan gandar hadapan memberikan kawalan dan respon yang lebih tinggi.
Selain itu, kedudukan hud, panel instrumen dan roda stereng yang lebih rendah memberikan pemandu dan penumpang pandangan yang tidak ubah seperti sebuah kereta sport sebenar.
Ruang kabin Corvette menampilkan susun atur yang memfokuskan kepada pemandu, dibantu dengan panel instrumen digital berukuran 12 inci serta stereng berbentuk segi empat. Sistem infotainmen turut ditambah baik bagi menjadikan ia lebih lancar dan mudah digunakan. Ia boleh diakses menerusi paparan beresolusi tinggi pada konsol tengah.
Turut dipertingkatkan adalah ciri Performance Data Recorder yang kini menggunakan kamera definisi tinggi dan antaramuka baharu. Menerusi ciri ini, pemandu boleh merakam pemanduan mereka sama ada di litar lumba atau di jalan raya. Ia didatangkan dengan ciri rakaman automatik yang akan mula merakam setiap kali enjin dihidupkan atau ketika mod Valet diaktifkan.
Corvette Stingray C8 dikuasakan oleh enjin aspirasi natural 6.2-liter V8 LT2 yang menjana 495 hp dan 637 Nm, iaitu jumlah kuasa kuda dan daya kilas yang paling tinggi bagi Corvette setakat ini. Jika dilengkapi dengan Z51 Performance Package, model ini berupaya untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam kurang tiga saat.
Kuasa disalurkan ke gandar belakang menerusi transmisi klac berkembar lapan kelajuan yang dibina dengan kerjasama Tremec. Nisbah gear pertama ditetapkan rendah bagi menghasilkan pecutan yang pantas, manakala nisbah gear kedua hingga keenam yang rapat memastikan kuasa enjin sentiasa berada pada tahap tertinggi. Nisbah gear ketujuh dan kelapan yang tinggi pula memberikan kelebihan dari segi ekonomi bahan api semasa kenderaan sedang dalam keadaan ‘cruising’.
Corvette didatangkan dengan enam mod pemanduan iaitu Weather, Tour, Sport dan Track yang dibawa daripada model sebelum ini, serta MyMode dan Z sebagai tambahan pada model C8. Diinspirasikan oleh pakej prestasi Z06, ZR1 dan Z51 yang ditawarkan dengan model-model Corvette sebelum ini, mod Z membolehkan pemandu menala enjin dan transmisi.
Bercakap tentang pakej prestasi, model generasi baru ini boleh didapati dengan pakej Z51 yang merangkumi beberapa komponen tambahan seperti sistem gantungan boleh laras, cakera brek lebih besar dengan logo Z51 pada angkup, sistem penyejukan yang dipertingkat, nisbah gandar spesifik, liang penyejukan brek hadapan serta ekzos prestasi.
No Comment