Ducati Panigale V4 25˚ Anniversario 916 Bakal Tiba di Malaysia Tahun Hadapan
Next Bike Sdn Bhd, pengedar rasmi motosikal Ducati di Malaysia, mengesahkan bahawa ia akan membawa masuk model edisi terhad Ducati Panigale V4 25˚ Anniversario 916 pada separuh pertama tahun 2020.
Model tersebut dilancarkan di peringkat global pada minggu lalu di Pebble Beach, California, oleh juara Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) empat kali iaitu Carl Forgarty.
Dihasilkan sempena sambutan ulang tahun Ducati 916 yang ke-25, hanya 500 unit model istimewa ini akan ditawarkan. Setiap satu didatangkan dengan tema warna merah putih seperti yang digunakan oleh jentera 916 milik Fogarty pada kejohanan WSBK 1999, lengkap dengan grafik nombor 1 pada bahagian hadapan dan sisi.
Selain warna hitam pada bahagian bawah fairing, Panigale V4 25˚ Anniversario 916 turut menampilkan rim magnesium Marchesini Racing, tabung ekzos Akrapovic serta beberapa komponen gentian karbon dan aluminium.
Model ini menggunakan Panigale V4 S sebagai asas, namun ia telah dinaik taraf dengan komponen-komponen yang diambil daripada Panigale V4 R seperti rangka hadapan yang direka mengikut spesifikasi Ducati Corse, klac kering serta ciri elektronik Ducati Quick Shift EVO 2 dan Ducati Traction Control EVO 2.
Jumlah kuasa pada Panigale V4 25˚ Anniversario 916 masih sama seperti Panigale V4 S iaitu 214 hp pada 13,000 rpm dan 124 Nm pada 10,000 rpm yang dibekalkan oleh enjin Stradale berkapasiti 1,013 cc.
Harga rasmi masih belum diumumkan, namun ia mungkin tidak jauh berbeza dengan Panigale V4 R yang dilancarkan baru-baru ini dengan harga RM299,900.
No Comment