Evora GT – Model Lotus Paling Berkuasa di Amerika Utara
Lotus telah memperkenalkan tawaran terbarunya bagi pasaran Amerika Utara iaitu Evora GT, yang juga merupakan pengganti kepada Evora Sport 410 dan Evora 400.
Didatangkan dalam versi manual dan automatik, Evora GT adalah model Lotus paling berkuasa dalam pasaran tersebut dengan 422 PS pada 7,000 rpm dan 430 Nm dari 3,500 rpm (450 Nm bagi versi automatik) yang dibekalkan oleh enjin 3.5-liter V6 supercharged.
Dengan enam nisbah kelajuan, versi automatik mampu memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 3.8 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 280 km/j.
Walaupun mempunyai kuasa kilas yang lebih rendah, versi manual boleh melakukan pecutan tersebut dalam tempoh masa yang sama manakala kelajuan maksimumnya adalah 303 km/j. Bukan itu sahaja, ia juga dilengkapi dengan Limited Slip Differential Torsen.
Selain kuasa yang lebih tinggi, Evora GT turut didatangkan dengan lip spoiler baharu yang diposisikan di bawah gril hadapan, liang udara pada dapra hadapan dan belakang serta diffuser belakang dengan rekaan berinspirasikan sukan permotoran. Ia memakai rim aluminium berukuran 19 inci dan 20 inci yang dipadankan dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2.
Sistem gantungan Eibach, peredam sport keluaran Bilstein serta sistem brek AP Racing dengan angkup empat omboh pada bahagian hadapan dan belakang adalah antara ciri-ciri standard yang terdapat pada model ini.
Dengan Evora GT, pelanggan mempunyai pilihan untuk mendapatkan pakej Carbon Pack yang boleh mengurangkan berat sebanyak 22 kg menerusi penggunaan komponen-komponen gentian karbon seperti panel akses, panel bumbung, tailgate dengan spoiler terbina dan diffuser. Turut ditawarkan adalah sistem ekzos titanium yang 10 kg lebih ringan berbanding ekzos standard.
No Comment