Barisan Honda Civic dan Integra Type R di AOS 2019
Salah satu tarikan di acara Art of Speed 2019 yang berlangsung pada minggu lalu adalah pameran NEAT Fest anjuran No Equal yang mengenengahkan pelbagai barisan jentera moden klasik dari Jepun dan Eropah. Antara model yang berjaya mencuri perhatian ramai adalah Civic dan Integra Type R.
Civic Type R (EK9)
EK9 merupakan model Civic pertama yang mendapat nama Type R. Menggunakan Civic tiga pintu (EK4) sebagai asas, ia dikuasakan oleh enjin B16B 1.6-liter empat silinder dengan 182 hp dan 160 Nm, dengan transmisi manual lima kelajuan ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke gandar hadapan.
Civic Type R (EP3)
Diperkenalkan pada 2001, EP3 pada asalnya dihasilkan di Swindon, England untuk pasaran Eropah tetapi selepas beberapa ketika Honda mengambil keputusan untuk menghasilkan versi JDM yang lebih agresif dan berkuasa. Ia didatangkan dengan enjin K20A 2.0-liter empat silinder dengan 212 hp, transmisi manual enam kelajuan serta LSD. Seperti EK9, ia juga menampilkan warna signatur Championship White dan kerusi Recaro berwarna merah.
Civic Mugen RR
Sebagai versi edisi terhad kepada Civic Type R (FD2), Mugen RR didatangkan dengan bampar gentian karbon, bonet aluminium serta pelbagai lagi komponen Mugen yang eksklusif. Ia turut dikuasakan oleh enjin K20A namun pelbagai penambahbaikan oleh Mugen menyaksikan kuasa meningkat kepada 237 hp dan 218 Nm. Hanya 300 unit dihasilkan dan semuanya didatangkan dalam warna Milano Red.
Integra Type R (DC2)
Pada 1995, Honda memperkenalkan Integra Type R generasi DC2 untuk tujuan homologasi bagi memenuhi kriteria pensijilan FIA. Dikuasakan oleh enjin B18C, ia mempunyai 200 PS (berbeza mengikut negara), transmisi manual lima kelajuan dengan nisbah rapat, Helical LSD, selain casis yang diperkuatkan.
Integra Type R (DC5)
Model ini diperkenalkan pada tahun 2001, dengan enjin K20A 2.0-liter DOHC i-VTEC yang menjana 220 hp. Ia dilengkapi dengan transmisi manual enam kelajuan, LSD, sistem brek Brembo dan suspensi lebih keras. Pada tahun 2005, ia diberikan facelift di mana bentuk ‘teardrop’ pada lampu hadapan dan belakang disingkirkan.
No Comment