Honda Malaysia Jual 44,200 Unit Kenderaan Dalam Separuh Pertama 2019
Honda Malaysia telah mengumumkan bahawa ia telah mencatat jualan melebihi 44,200 unit bagi separuh pertama 2019, dengan Mei merekodkan jualan tertinggi iaitu 10,500 unit.
Berdasarkan keputusan ini, syarikat itu mengekalkan kedudukan No. 1 dalam segmen bukan nasional dan No. 2 dalam Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi separuh pertama 2019 dengan pegangan 15.3%.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, “Separuh pertama 2019 sangat mencabar tetapi memberi dorongan kepada kami. Jualan Civic mencapai 130,000 unit manakala Jazz yang ke-100,000 telah diserahkan kepada pelanggan.”
Menurut Honda Malaysia, City merupakan penyumbang terbesar dengan 34% daripada jumlah jualan keseluruhan, diikuti dengan HR-V dengan 20% dan CR-V dengan 14%.
Serentak dengan pengumuman ini, Honda Malaysia melancarkan kempen Tech Frontier Rewards yang merupakan satu inisiatif untuk memberi ganjaran kepada pelanggan Honda yang membeli model yang dilengkapi dengan teknologi Honda Sensing, Turbo dan Sport Hybrid i-DCD.
Kempen ini menawarkan Honda Bonus, Tech Month Bonus dan hadiah eksklusif bernilai sehingga RM5,000. Kempen ini berjalan dari 1 Julai hingga 30 September 2019 dan terbuka kepada semua model kecuali Civic Type R.
No Comment