Perodua Tingkatkan Perniagaan Dengan Pertandingan Kemahiran Badan & Cat
Buat pertama kalinya, Perodua telah menganjurkan Pertandingan Kemahiran Badan & Cat (B&P).
Mereka sudah ada Pertandingan Kemahiran Teknikal Kebangsaan sejak tahun 1997, yang melibatkan penasihat servis, foreman dan mekanik dari seluruh Malaysia.
Ini adalah salah satu cara mereka membangunkan modal insan agar memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada para pelanggannya.
Seramai 140 penasihat servis B&P, juruteknik badan dan juruteknik cat daripada 33 hab B&P dan 4S di seluruh negara menyertai pusingan awal yang berlangsung di sepanjang Februari dan Mac lalu.
April lalu telah menghasilkan 12 finalis dalam tiga kategori iaitu penasihat servis B&P, juruteknik badan dan juruteknik cat.
Minggu lepas Norhizam Zainal Abidin (Hab Puchong B&P), Hazinin Rosli (Kota Kinabalu 2) dan Fazwan Mazlan (Kota Bharu 1) diumumkan juara kategori masing-masing.
Kenyataan Media
Rawang, 22hb Julai: Perodua telah menganjurkan Pertandingan Kemahiran Badan & Cat (B&P) buat julung kalinya dalam usaha untuk membangunkan modal insan serta memberikan perkhidmatan B&P yang lebih baik kepada para pelanggannya.
Ditubuhkan pada tahun 2009, perniagaan B&P Perodua melibatkan pembaikan dan pemulihan kenderaan yang terlibat dalam perlanggaran. Pembayaran tunai diterima; B&P Perodua juga membantu pelanggan dalam proses tuntutan insurans.
“Perniagaan B&P kami bertujuan untuk menyelesaikan masalah dan membaik pulih kenderaan yang terlibat dalam perlanggaran, dengan melaksanakan kerja sebaik mungkin mengikut tahap kualiti dan keselamatan yang tinggi. Selain itu, penggunaan alat ganti tulen turut memberi ketenangan minda penuh kepada para pelanggan kami,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato’ Dr Zahari Husin.
“Keselamatan pelanggan adalah keutamaan kami. Apabila sesebuah kenderaan terlibat dalam perlanggaran, keadaan struktur dan tahap keselamatannya mungkin akan terjejas. Juruteknik B&P kami telah dilatih secara profesional untuk memberikan mutu kerja yang terbaik dalam proses memulihkan kenderaan Perodua yang terlibat dalam perlanggaran,” tambahnya.
Walaupun Perodua telah menganjurkan Pertandingan Kemahiran Teknikal Kebangsaan sejak tahun 1997, yang melibatkan penasihat servis, foreman dan mekanik dari seluruh Malaysia, ini merupakan kali pertama pertandingan seperti ini diadakan untuk kakitangannya di B&P.
Para peserta diberikan senario sukar yang berkaitan dengan pelanggan dan dinilai bukan sahaja berdasarkan kebolehan teknikal dan kemahiran menyelesaikan masalah, malah penekanan yang diberikan kepada Kepuasan Pelanggan.
Pertandingan Kemahiran B&P Perodua yang pertama ini menyaksikan seramai 140 penasihat servis B&P, juruteknik badan dan juruteknik cat daripada 33 hab B&P dan 4S di seluruh negara menyertai pusingan awal yang berlangsung di sepanjang Februari dan Mac lalu.
Peringkat separuh akhir pada April lalu telah menghasilkan 12 finalis dalam tiga kategori yang dipertandingkan iaitu penasihat servis B&P, juruteknik badan dan juruteknik cat. Peringkat akhir pada minggu lepas telah menyaksikan Norhizam Zainal Abidin (Hab Puchong B&P), Hazinin Rosli (Kota Kinabalu 2) dan Fazwan Mazlan (Kota Bharu 1) menjuarai kategori tersebut masing-masing.
“Kami mengucapkan tahniah kepada juara-juara kebangsaan B&P pertama kami – mereka mewakili Perodua dalam menawarkan perkhidmatan yang terbaik di negara ini dari segi B&P, dan menjadi contoh kepada kita semua, terutamanya kakitangan B&P kami di seluruh negara,” kata Dato’ Dr Zahari.
“Pertandingan Kemahiran B&P Perodua ini memberi banyak manfaat. Melalui persaingan yang sihat, ia menggalakkan peserta untuk mempelajari, berkongsi dan mengamalkan pengetahuan yang diperolehi, selain turut melaksanakan Kaizen atau penambahbaikan secara berterusan.
“Ini mengasah kemahiran mereka dan memastikan mereka kekal berdaya saing serta relevan dengan keperluan dan kehendak pelanggan kami yang dihargai. Selain itu, ia juga mampu memajukan kerjaya mereka.
“Pertandingan Kemahiran B&P Perodua merupakan salah satu daripada inisiatif kami untuk mengukuhkan Pengalaman Perodua, yang bertujuan untuk menawarkan pakej mobiliti serba lengkap – merangkumi produk, alat ganti, perkhidmatan dan penyelesaian – bagi memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan kami yang dihargai,” kata Dato’ Dr Zahari.
No Comment