Mercedes-AMG GLC43 Kini Lebih Berkuasa
Acara Geneva Motor Show 2019 yang berlangsung pada Mac lalu menyaksikan kemunculan Mercedes-Benz GLC facelift dengan reka bentuk serta kelengkapan yang diperbaharui. Kini, tiba giliran untuk model AMG GLC43 dan GLC43 Coupe pula untuk menerima kemas kini yang sama.
Dari luaran, kedua-dua model kini menampilkan wajah baharu dengan lampu utama LED yang direka semula serta jeriji Panamericana seperti yang terdapat pada model-model AMG yang lain. Lampu belakang turut diberi sentuhan segar, manakala muncung ekzos berkembar menandakan bahawa ia cukup agresif.
Bagi model 2020, GLC43 didatangkan standard dengan rim aloi AMG bersaiz 20 inci tetapi pelanggan juga boleh memilih antara tiga rekaan rim berbeza dalam saiz 20 dan 21 inci.
Rekaan bahagian dalaman tidak terlalu berbeza dengan model sedia ada, namun apa yang jelas di sini adalah kehadiran stereng ‘flat bottom’ baharu. Selain itu, model ini juga mendapat sistem infotainmen MBUX terkini dengan skrin berukuran 10.25 inci pada konsol tengah dan kluster instrumen 12.3 inci untuk pemandu.
Seperti sebelum ini, GLC43 facelift menampilkan gandingan enjin biturbo 3.0-liter V6 dan transmisi automatik sembilan kelajuan AMG Speedshift, namun kuasa telah meningkat sebanyak 23 hp kepada 390 hp hasil penggunaan pengecas turbo lebih besar dan perisian yang ditala semula.
Dengan kuasa kilas yang mencecah 520 Nm dari 2,500 hingga 4,500 rpm, kedua-dua GLC43 dan GLC43 Coupe boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.9 saat. Kelajuan maksimum pula dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.
‘Senjata’ lain yang disertakan bersama model ini termasuklah lima mod pemanduan (Slippery, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual), AMG Dynamics, sistem pacuan semua roda 4Matic, sistem gantungan udara dan stereng sensitif kelajuan.
No Comment