Mitsubishi Pajero Sport Facelift Akan Didedahkan 25 Julai Ini
Mitsubishi Pajero Sport generasi semasa diperkenalkan empat tahun lalu dan kini tibalah masanya untuk SUV itu menerima facelift bagi menjadikan ia kekal segar dan relevan di pasaran.
Berita baik bagi mereka yang tertunggu-tunggu akan ketibaan model facelift ini kerana Mitsubishi Motors Corporation (MMC) telah mengumumkan bahawa ia akan diperkenalkan di Thailand pada 25 Julai ini.
MMC turut mendedahkan imej teaser pertama yang menampakkan bahagian hadapan ‘Dynamic Shield’ yang diperkemaskan. Selain rekaan jeriji dengan tiga garisan melintang, Pajero Sport baharu ini tampil lebih agresif dengan bampar yang kelihatan lebih lebar.
Selain itu, terdapat juga video teaser berdurasi 16 saat yang menunjukkan ciri-ciri baharu lain seperti paparan instrumen digital, serta rekaan lampu LED pada bahagian hadapan dan belakang yang memberikan imej lebih premium.
Setakat ini tidak dapat dipastikan jika model ini akan memasuki pasaran Malaysia atau tidak. Kami nasihatkan agar anda tidak terlalu berharap kerana model semasa pun tidak dijual secara rasmi di pasaran negara ini. Tetapi siapa tahu mungkin Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) akan mengubah fikiran mereka untuk memberikan saingan kepada Toyota Fortuner dan Isuzu Mu-X di sini?
No Comment