Maut Menimpa Penunggang Motosikal Yang Terlanggar Kereta Yang Berhenti Tiba-Tiba
Ucapan takziah kami untuk keluarga dan mereka yang kenali Muhammad Shakir Zufayri Ramli. Al Fatihah.
Sekali lagi. Peringatan untuk semua penunggang motosikal dan pemandu kereta. Berhati-hatilah dan berwaspadalah terhadap satu sama lain. Penunggang motosikal … jangan lah 1. menunggang terlalu laju 2. mencelah-celah kenderaan lain di lebuhraya. Pemandu kenderaan … janganlah tiba-tiba perlahan atau berhenti di tengah-tengah lebuhraya. Kesemua pengguna jalanraya bertanggungjawab terhadap satu sama lain. Kalau bukan kita berjaga-jaga terhadap kita bersama siapa lagi yang boleh kita harap?
Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, berkata, Muhammad Shakir Zufayri Ramli, 19, meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini akibat kejadian kira-kira pukul 3.25 petang.
Motosikal ditunggang seorang remaja merempuh sebuah kereta yang tiba-tiba menghentikan kenderaannya. Penunggang tercampak dan dilanggar sebuah kenderaan lain dalam kejadian di Lebuhraya Pantai Bahru (NPE) Petaling Jaya, hari ini.
“Dia yang tidak sempat mengelak terus merempuh bahagian belakang kereta itu dan tercampak ke lorong tengah sebelum dilanggar sebuah kereta Perodua Alza dipandu seorang lelaki berusia 47 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
“Mangsa yang bekerja sebagai kelindan van sedang menunggang motosikal Yamaha 125Z menghala ke Kuala Lumpur apabila sebuah kereta Honda City dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun memperlahankan kenderaannya di lorong kiri sebelum menghentikan kenderaan dan menghidupkan lampu kecemasan tanpa meletakkan sebarang papan tanda amaran.”
Menurut Mohd. Zani, punca kematian mangsa masih belum diketahui dan masih menunggu keputusan bedah siasat yang dijalankan pihak Forensik PPUM.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, tambah beliau.
Laporan ehsan:
UTUSAN ONLINE
Naimah Mohamad
19 Julai 2019 9:49 PM
No Comment