Nissan LEAF Kini di Malaysia – RM188,888
Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah melancarkan model elektrik yang ditunggu-tunggu iaitu Nissan LEAF bagi pasaran Malaysia. Ditawarkan dalam satu varian premium, ia hadir sebagai model CBU dari Jepun.
Reka bentuk model generasi kedua ini menampilkan profil lebih rendah dan kemas dan ini secara tidak langsung menghasilkan tahap aerodinamik Cd 0.28. Antara ciri signatur yang ada pada LEAF adalah jeriji holografik diinspirasikan daripada berlian, lampu nyalaan siang LED berbentuk boomerang, bumbung dua tona dan rim aloi ‘Turbin’ berukuran 17 inci.
LEAF ditawarkan dalam warna dua tona iaitu Pearl White (badan) dan Deep Blue Pearl (bumbung), serta Magnetic Red dan Super Black. Bagi versi satu tona, warna-warna yang ditawarkan adalah Brilliant Silver, Super Black, Gun Metal Grey dan Deep Blue Pearl.
Ruang dalaman pula menampilkan stereng ‘flat-bottom’ pelbagai fungsi dengan balutan kulit, paparan meter tujuh inci dan kemasan Alcantara pada tempat duduk. Antara teknologi yang tersedia adalah Climate Control Timer yang boleh dilaras kepada masa yang spesifik untuk menyejukkan ruang kabin.
Dipacu oleh motor elektrik yang mampu menjana 150 PS (110 kW) dan 320 Nm, LEAF mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 155 km/j. Penggunaan bateri lithium-ion berkapasiti 40 kWh memberikan model hatchback lima pintu jarak pemanduan sejauh 311 km dengan satu caj penuh, berdasarkan ujian kitaran ECE R101 New European Driving Cycle (NEDC).
LEAF didatangkan dengan pengecas Wall Box Charger 6.6 kW (Type 1) secara standard yang akan mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk dicaj sepenuhnya. Bagaimanapun dengan pengecaj pantas CHAdeMO 50 kW, pengecasan penuh mengambil masa sekitar 60 minit.
Buat masa ini pengecas CHAdeMO disediakan secara percuma di ABB Malaysia Sdn Bhd Subang Jaya, Nichicon (Malaysia) Sdn Bhd Bandar Baru Bangi, dan R&R Ayer Keroh, Melaka (arah selatan). Secara alternatifnya, pemilik LEAF boleh pergi ke mana-mana 17 lokasi ETCM di seluruh negara untuk menggunakan Wall Box Charger secara percuma.
Antara teknologi pemanduan pintar yang terdapat pada model ini adalah ciri e-Pedal yang membolehkan pemandu untuk bermula, memecut, memperlahkan kenderaan dan berhenti dengan menggunakan hanya satu pedal.
Selain itu, LEAF juga dilengkapi dengan teknologi mengecaj dua hala, sekaligus menjadikan ia sebuah sumber tenaga. Ini bermakna pada masa depan pemilik LEAF boleh menggunakan kereta mereka untuk berkongsi tenaga dengan rumah, perniagaan atau komuniti.
Senarai kelengkapan standard yang disertakan adalah seperti berikut:
- 6 beg udara
- Intelligent Forward Collision Warning (FCW)
- Intelligent Forward Emergency Braking (FEB)
- Intelligent Around View Monitor (I-AVM) dengan Moving Object Detection (I-MOD)
- Intelligent Driver Alertness (I-DA)
- Intelligent Ride Control
- Intelligent Trace Control
- Hill Start Assist
- Vehicle Dynamic Control
- ABS dengan BA
- Electronic Braking Distribution
LEAF dijual pada harga RM188,888 dan didatangkan dengan waranti tiga tahun/100,000 km, pakej penyelenggaraan tiga tahun/60,000 km dan waranti bateri lithium-ion untuk lapan tahun/160,000 km.
No Comment