Pandu Uji Ringkas: Nissan X-Trail Facelift
Perkembangan segmen SUV yang semakin pesat sejak beberapa tahun ini secara tidak langsung menyaksikan pengeluar berlumba-lumba membawa masuk sama ada produk serba baharu atau yang telah ditambahbaik secara menyelururuh agar mereka terus kekal relevan di pasaran.
Di Malaysia, persaingan juga menjadi semakin hangat terutamanya apabila Proton memperkenalkan SUV pertama mereka iaitu X70. Bagaimanapun, segmen ini masih lagi didominasi oleh jenama Jepun dan salah satu daripadanya adalah Nissan yang diedarkan secara rasmi oleh Edaran Tan Chong Motor (ETCM).
Walaupun agak senyap kebelakangan ini, Nissan menunjukkan bahawa mereka masih berminat untuk bersaing dalam segmen SUV yang menguntungkan ini dengan melancarkan X-Trail versi facelift. Malah, untuk menunjukkan bahawa mereka benar-benar serius, sebanyak empat varian telah dilancarkan berbanding hanya dua sebelum ini.
Berikut adalah varian dan harga bagi X-Trail facelift:
- X-Trail 2.0 2WD – RM133,888
- X-Trail 2.0 2WD Mid – RM145,888
- X-Trail 2.5 4WD – RM153,888
- X-Trail 2.0 2WD Hybrid – RM159,888
Dalam sesi pandu uji media ke Belum Rainforest Resort di Gerik, Perak baru-baru ini, pihak ETCM menyediakan dua varian teratas untuk diuji iaitu varian X-Trail 2.5 4WD dan X-Trail 2.0 2WD Hybrid. Kami sempat menguji prestasi kedua-dua varian tersebut sepanjang perjalanan yang menggabungkan lebuh raya dan laluan berliku.
Pertama sekali, mari lihat apakah pembaharuan yang dibawa oleh model facelift ini. Dari segi reka bentuk, X-Trail kini tampil dengan muka hadapan yang lebih agresif dengan rekaan lampu utama dan jeriji V-Motion yang lebih menonjol. Lampu belakang pula hadir dengan efek ‘smoked’, satu ciri yang amat biasa di kalangan peminat kereta. Rim 17 inci didatangkan standard bagi keempat-empat ciri varian namun untuk penampilan yang lebih premium, hanya kedua-dua varian yang diuji ini mendapat kemasan hitam.
Walaupun sebahagian besar ruang kabin tidak berubah, kehadiran stereng ‘flat-bottom’ dan upholsteri kulit sedikit sebanyak melahirkan suasana yang lebih segar. Stereng tersebut bukan sahaja kelihatan sporty, ia juga selesa untuk dipegang dan ini secara tidak langsung boleh menambah keyakinan pemandu ketika mengawal kenderaan. Sistem infotainment kini boleh diakses menerusi skrin sentuh berukuran 7 inci dan menyokong ciri sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Lebih menarik lagi, kesemua varian X-Trail mendapat ciri Nissan Intelligent Mobility yang merangkumi Around View Monitor dengan Intelligent Moving Object Detection, Intelligent Ride Control, Intelligent Engine Brake dan Intelligent Trace Control. Ciri-ciri pemanduan pintar tambahan iaitu Intelligent Cruise Control, High Beam Assist dan Intelligent Forward Collison Warning dan Intelligent Forward Emergency Braking hanya didatangkan standard bagi varian 2.5 4WD dan 2.0 2WD Hybrid.
Pada hari pertama, kami memandu varian 2.5 4WD dari Glenmarie ke Gerik melalui Lebuhraya Utara-Selatan. Tanpa sebarang bantuan daripada sistem hibrid, varian yang dilengkapi dengan CVT X-Tronic ini memerlukan sedikit masa untuk mencapai kelajuan. Tetapi apabila ia mula berada pada kelajuan yang diingini, ia ternyata begitu lancar dan memotong kenderaan-kenderaan lain juga menjadi lebih mudah.
Stereng terasa sedikit ringan namun masih baik dan cukup selesa untuk pengendalian pada kelajuan yang tinggi. Selain prestasi yang lancar, kami perasan bahawa tidak banyak bunyi dari luar mahupun dari bahagian ruang enjin yang berjaya meresap masuk ke dalam kabin.
Usaha Nissan untuk menambah bahan penebat bunyi pada papan pemuka, lantai, panel belakang dan gerbang roda nyata terbukti membuahkan hasil dalam meningkatkan keselesaan penumpang. Bukan itu sahaja, tempat duduk Zero-Gravity juga membuatkan kami tidak berasa terlalu penat walaupun setelah seharian memandu.
Sementara itu, varian Hybrid yang menampilkan gabungan enjin 2.0-liter empat silinder, motor elektrik dan ciri Nissan Intelligent Dual Clutch Control pula menunjukkan prestasi pecutan yang lebih baik semasa dalam perjalanan pulang ke Glenmarie. Sterengnya juga terasa lebih berat sedikit berbanding varian bukan hibrid dan ini memberikan pengendalian yang lebih meyakinkan.
Cuma, kehadiran ciri Regenerative Braking (biasa terdapat pada mana-mana model hibrid) sangat menjejaskan rasa pedal brek. ‘Feel’ pedal brek menjadi tidak asli dan ini secara tidak langsung menjadikan sukar bagi kami untuk mengagak berapa banyak daya yang perlu dikenakan ke atas pedal.
Pengendalian bagi kedua-dua ini secara amnya tidak jauh berbeza. Dengan pak bateri yang terletak di bawah lantai bahagian belakang, varian Hybrid berasa lebih berat tetapi ini tidak menjejaskan prestasinya di selekoh. Ini mungkin disebabkan oleh ketiadaan tempat duduk barisan ketiga yang telah dibuang bagi memuatkan bateri tersebut.
Kami tidak sempat untuk memandu varian Hybrid di kawasan bandar, namun menurut ETCM, ia mampu beroperasi dalam mod elektrik (di mana enjin dimatikan) pada kelajuan bawah 40 km/j. Ini pasti menjimatkan bahan api terutamanya apabila terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas.
Tidak dinafikan bahawa kehadiran X-Trail facelift akan menjadikan segmen SUV yang memang sedia sengit ini, lebih sengit lagi. Ia mungkin tidak kelihatan sesegar pesaingnya yang lain, namun apa yang kami boleh kami simpulkan setelah memandunya adalah ia mempunyai prestasi pemanduan yang boleh dipuji dan setanding dengan model-model lain. Malah, kehadiran pelbagai ciri pemanduan pintar dan keselamatan yang menyeluruh juga menjadikan ia pilihan yang baik jika anda mahukan SUV yang lengkap secara keseluruhan.
Spesifikasi Nissan X-Trail 2.5 4WD
Enjin: QR25DE-K2
Kapasiti: 2,488 cc
Kuasa: 169 hp @ 6,000 rpm
Tork: 233 Nm @ 4,000 rpm
Transmisi: CVT
0-100 km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM153,888
Spesifikasi Nissan X-Trail 2.0 2WD Hybrid
Enjin: MR20DD Twin CVTC
Kapasiti: 1,997 cc
Kuasa: 142 hp @ 6,000 rpm + 40 hp (motor elektrik)
Tork: 200 Nm @ 4,400 rpm + 160 Nm (motor elektrik)
Transmisi: CVT dengan Nissan Intelligent Dual Clutch Control
0-100 km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM159,888
No Comment