Bisnes

Perodua Sasar Jual 235,000 Kenderaan Tahun Ini

Dalam satu sidang media hari ini, Perodua mengumumkan bahawa ia meningkatkan sasaran jualannya daripada 231,000 unit kepada 235,000 ribu unit untuk tahun ini. Tahun lalu, Perodua mencatat rekod jualan tahunan tertinggi dalam sejarahnya dengan jualan mencecah 227,243 unit.

BHP Banner Mini 60

Bagi separuh pertama 2019, syarikat itu menjual kira-kira 121,800 kenderaan, 4 peratus lebih tinggi berbanding 117,100 unit yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lalu. Menurut Perodua, peningkatan ini didorong oleh permintaan yang memberangsangkan untuk semua modelnya.

Pecahan bagi jualan enam bulan pertama tahun ini mengikut model adalah 43,000 unit Myvi, 32,000 unit Axia, 22,000 unit Bezza, 15,000 unit Aruz dan 8,000 unit Alza. Bagi pasaran luaran negara pula, Perodua telah mengeksport 1,601 unit kenderaan bagi separuh pertama 2019, dengan Indonesia dan Sri Lanka pasaran paling besar dengan 1,030 unit dan 344 unit.

IMG_9382

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata, dari Januari hingga Jun 2019, syarikat itu menerima sejumlah 190,765 tempahan, mewakili peningkatan sebanyak lebih 3 peratus daripada 184,949 tempahan dalam separuh pertama tahun lalu.

Tambah beliau, peningkatan permintaan bagi kenderaan Perodua dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini telah memberi kesan positif terhadap ekosistem automotif secara keseluruhan, dengan pembelian komponen berjumlah RM2.7 bilion.

“Berdasarkan ramalan kami untuk separuh kedua tahun ini, kami menjangkakan perbelanjaan sebanyak RM5.4 bilion untuk membeli komponen untuk keseluruhan 2019.”

Perodua Myvi

Dato’ Zainal berkata bahawa Perodua juga sedang bekerjasama dengan Daihatsu Motor Company untuk membangunkan lagi pembekal komponen tempatannya di samping meneroka pasaran di luar Malaysia.

Mengenai ramalan untuk separuh kedua 2019, Dato’ Zainal berkata bahawa Bank Negara telah mengurangkan kadar ‘overnight policy’ (OPR) yang mana membantu meningkatkan perbelanjaan pengguna.

“Perkembangan ini baik untuk industri, tetapi harus diingatkan bahawa tahun lepas terdapat insentif yang besar untuk membeli kenderaan, dengan adanya cuti cukai yang diumumkan selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-14,” kata beliau.

IMG_9387

“Mengikut angka dalaman kami, industri telah mengatasi jangkaan pada separuh pertama tahun ini – jumlah jualan kenderaan (TIV) meningkat 2.4 peratus kepada 296,800 unit.”

“Dengan ini, kami percaya bahawa separuh kedua tahun ini tidak akan sehebat tahun lepas. Momentum pada separuh pertama mungkin menurun menjelang separuh kedua tahun ini.”

Tertakluk kepada laporan rasmi Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Perodua menjangkakan TIV bagi 2019 kekal pada 600,000 unit.

Previous post

Volkswagen Tiguan dan Passat Dapat Tambahan 2 Tahun Penyelenggaraan Percuma

Next post

Mazda3 (2019) Masuk Pasaran Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *