Porsche 911 (992) Masuk Pasaran Malaysia
Sime Darby Auto Performance (SDAP) hari ini melancarkan Porsche 911 generasi baharu (992) dengan dua varian untuk dipilih iaitu 911 Carrera S dan 911 Carrera 4S.
Majlis pelancaran diadakan di Litar Antarabangsa Sepang bersempena dengan siri perlumbaan Porsche Carrera Cup Asia (PCCA) pusingan 6,7 dan 8 yang akan diadakan pada hujung minggu ini.
Rekaan luaran 911 diberi suntikan baharu dengan bahagian hadapan yang lebih lebar sebanyak 45 mm dan lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang empat-poin.
Ia juga menampilkan bonet hadapan yang lebih panjang dan ‘re-cess’ pada bahagian hadapan cermin penghadang angin, satu ciri tradisional yang telah digunakan pada model generasi terdahulu.
Di belakang, spoiler boleh laras kini 25% lebih lebar manakala bampar diberikan rekaan yang lebih ringkas dan moden. Varian Carrera S didatangkan dengan lubang angin berwarna hitam pada jeriji belakang, manakala Carrera 4S mempunyai elemen krom. Gerbang roda juga direka lebih lebar bagi memuatkan rim berukuran 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang.
Bahagian dalaman pula menggabungkan elemen tradisional dan teknologi canggih. Pada panel instrumen, terdapat meter analog di antara dua paparan berukuran 7 inci di mana semua informasi mengenai kenderaan dipaparkan. Selain itu, skrin sentuh baharu berukuran 10.9 inci pula memberikan akses kepada sistem Porsche Communication Management (PCM).
Satu lagi teknologi terkini yang ada pada model ini adalah Wet Mode yang berfungsi dengan mengesan kehadiran air di atas permukaan jalan dan seterusnya menetapkan sistem kawalan kenderaan sewajarnya.
Dalam keadaan tertentu, sistem tersebut mungkin akan mengaktifkan brek kecemasan dengan bantuan daripada sistem amaran dan bantuan brek yang menggunakan kamera. Pelanggan juga boleh mendapatkan ciri Night Vision Assist dengan kamera thermal dan sistem Adaptive Cruise Control yang turut merangkumi fungsi Emergency Assist.
Kedua-dua varian dikuasakan oleh enjin turbo 3.0-liter enam-silinder yang menghamburkan 450 hp pada 6,500 rpm dan 530 Nm dari 2,300 hingga 5,000 rpm, mewakili peningkatan sebanyak 30 hp dan 30 Nm berbanding model sebelum ini.
Dengan kotak gear PDK lapan kelajuan, Carrera S yang merupakan model pacuan roda belakang (RWD) boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.7 saat dan mencapai kelajuan 306 km/j. Sementara itu, Carrera 4S dengan ciri pacuan semua roda memerlukan 3.6 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j dan boleh memecut sehingga 308 km/j.
Harga bagi 911 Carrera S bermula ari RM1,150,000 manakala harga 911 Carrera 4S bermula dari RM1,220,000.
No Comment