Toyota GR Supra HKS Dengan Nadi 2JZ-GTE
Acara Goodwood Festival of Speed yang akan berlangsung dari 4 hingga 9 Julai ini bakal menyaksikan kemunculan sebuah jentera drift Toyota GR Supra yang telah ditala secara menyeluruh oleh HKS.
Melihat kepada gambar-gambar yang disiarkan, GR Supra HKS ini memang menarik tetapi apa yang membuatkan ia benar-benar istimewa adalah enjin 2JZ-GTE yang digunakan sebagai ganti kepada nadi asal iaitu enjin B58 buatan BMW.
Menurut HKS, enjin enam silinder tersebut mempunyai sesaran lebih besar iaitu 3.4-liter dan dibantu oleh pengecas turbo HKS GTIII-4R. Hasilnya adalah 690 hp dan 884 Nm, menjadikan ia dua kali ganda lebih berkuasa berbanding versi standard.
Selari dengan itu, aspek casis jentera ini turut dipertingkatkan menerusi sistem gantungan HKS Hipermax SPL dengan padanan rim dan tayar Advan bersaiz 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang. Sistem brek Endless pula memastikan ia mempunyai kuasa membrek yang secukupnya.
Individu yang ditugaskan untuk mengendalikan jentera drift istimewa ini adalah pelumba Super GT dan D1 Grand Prix yang tidak asing lagi di kalangan peminat sukan permotoran iaitu Nobuteru Taniguchi.
No Comment