Volkswagen Touareg One Million Rai Kejayaan Pengeluaran ke 1 Juta Unit
Selepas 17 tahun memasuki pasaran, Volkswagen Touareg yang dipasang di Bratislava, Slovakia akhirnya mencapai rekod 1 juta unit pengeluaran. Bagi meraikannya, Volkswagen telah memperkenalkan model edisi khas Touareg One Million.
Dibuka untuk tempahan bagi pasaran Eropah mulai sekarang, Touareg One Million didatangkan dalam warna Sechura Beige yang dipadankan dengan lampu belakang gelap, lencana ‘ONE Million’ dan penyudah berwarna hitam berkilat. Pelanggan boleh memilih antara rim Bogota berukuran 20 inci atau rim Suzuka 21 inci.
Untuk penampilan yang lebih garang, pakej luaran R-Line Black Style turut ditawarkan bersama dengan cermin sisi dalam kemasan Relfection Silver.
Bahagian dalaman turut menerima sentuhan menarik dalam bentuk kemasan Silver Wave pada papan pemuka dan upholsteri kulit Puglia dengan jahitan corak berlian dalam warna Amber Brown pada papan pemuka, stereng dan tombol gear. Malah, kunci model ini turut menerima balutan kulit Puglia.
Antara tarikan utama yang terdapat pada ruang kabin Touareg One Million adalah sistem Innovision Cockpit yang merangkumi paparan instrumen 12.3 inci dan skrin infotainmen 15 inci. Dari segi teknikal, model ini menampilkan enjin V6 TDI yang menjana 286 PS.
Bagi pasaran Eropah, Touareg One Million ditawarkan pada harga 80,880 Euro (RM371,320).
No Comment