Audi RS6 Avant Hadir Dengan 600 PS dan 800 Nm
Selain daripada R8, satu lagi model Audi yang menjadi idaman ramai adalah RS6 Avant. Pada hemat penulis, model ini sangat digemari kerana ia menampilkan gabungan prestasi seakan supercar dan tahap praktikaliti yang lebih tinggi berbanding hatchback atau sedan.
Versi terbaru RS6 Avant baru sahaja didedahkan dan buat pertama kali dalam sejarah Audi, model tersebut akan memasuki pasaran Amerika Syarikat. Ini boleh dikira sebagai satu langkah yang berani bagi Audi kerana wagon tidaklah begitu popular di sana.
Hadir dengan reka bentuk yang lebih bersegi, RS6 Avant dikuasakan oleh enjin twin-turbo 4.0-liter V8 yang mampu menghasilkan 600 PS dan 800 Nm. Transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda Quattro membolehkan jentera ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.6 saat.
Kelajuan maksimum yang dihadkan secara elektronik adalah 250 km/j namun pelanggan yang memilih pakej Dynamic boleh memecut sehingga 280 km/j. Jika ini masih tidak cukup laju, pakej Dynamic Plus boleh meningkatkan kelajuan maksimum kepada 305 km/j.
Pemilik jentera berprestasi tinggi seperti RS6 Avant sudah pasti tidak mementingkan kecekapan bahan api, namun kehadiran sistem mild hybrid 48 volt membolehkan model ini mengurangkan penggunaan petrol sehingga 0.8 liter bagi setiap 100 km. Bukan itu sahaja, Audi turut melengkapkan sistem nyahaktif silinder yang berfungsi untuk mematikan empat daripada lapan silinder enjin ketika bergerak pada kelajuan rendah dan sederhana.
RS6 Avant didatangkan dengan sistem gantungan adaptif yang boleh mengubah ketinggian badan mengikut situasi pemanduan. Sebagai contoh, sistem ini akan mengurangkan ketinggian sebanyak 10 mm pada kelajuan 120 km/j ke atas dan pada kelajuan rendah, ia akan mengurangkan ketinggian sehingga 20 mm. Untuk pengendalian yang lebih jitu, pelanggan boleh memilih sistem gantungan Sport Plus dengan Dynamic Ride Control (DRC).
Selain itu, model ini turut menampilkan ciri stereng progresif yang dikatakan mampu memberikan tindak balas yang lebih tinggi. Pelanggan yang memilih pakej Dynamic atau Dynamic Plus akan mendapat ciri ‘all wheel steering’ di mana tayar belakang membelok mengikut arah lawan putaran stereng pada kelajuan rendah dan sebaliknya jika kenderaan bergerak pada kelajuan tinggi.
Harga masih belum diumumkan namun menurut Audi, RS6 Avant akan memasuki pasaran Jerman dan Eropah pada suku pertama tahun 2020.
No Comment