Honda Civic Hatcback Facelift Dilancarkan di Amerika Syarikat
Honda Civic hatchback telah diberikan facelift di Amerika Syarikat, membawakan beberapa pembaharuan dari segi reka bentuk luaran serta kelengkapan.
Bagi model 2020, Civic hatchback tampil lebih segar dengan kehadiran ‘crossbar’ pada perumah lampu kabus pada bampar hadapan dan juga pada bampar belakang. Jeriji sayap turut dikemaskini, manakala lampu hadapan kini tampil lebih gelap yang membuatkan model ini kelihatan lebih sporty.
Menurut Honda, semua varian didatangkan dengan rim baharu dalam kemasan kelabu gelap atau hitam. Varian Sport Touring pula mendapat lampu LED baharu dengan pancaran yang lebih lebar dan panjang.
Bahagian dalaman pula menampilkan kemasan papan pemuka baharu yang berbeza mengikut varian. Varian Sport mendapat corak geometrik, LX dan EX mendapat corak bercat, manakala EX-L dan Sport Touring mendapat kemasan berwarna hitam. EX juga menerima tempat duduk pemandu boleh laras lapan cara, serta kemasan kulit pada stereng dan tombol gear.
Sementara itu, varian Sport Touring kini didatangkan dengan ciri HomeLink, serta pilihan transmisi manual enam kelajuan bagi enjin 1.5-liter turbo. Aspek NVH semua varian turut dipertingkatkan menerusi bahan penebat bunyi tambahan pada bahagian lantai, but serta dapra hadapan dan belakang.
Seperti Civic sedan yang telah dikemaskini bagi tahun 2019, semua varian Civic hatchback turut menerima ciri keselamatan Honda Sensing secara standard. Sistem audio pada varian EX, EX-L dan Sport Touring kini mempunyai butang fizikal, ciri pengenalan suara, Bluetooth, USB sub-cord, selain pemegang cawan lebih besar pada konsol tengah dan brek parkir elektronik dengan lampu penunjuk. Model dengan pendingin hawa dua zon pula mendapat tombol kawalan fizikal.
Bagi varian Sport pula, ia mendapat skrin sentuh tujuh inci dengan lapan pembesar suara (dari empat sebelum ini) lengkap dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto, serta butang penghidup enjin Smart Start dan ciri kemasukan tanpa kunci. Buat pertama kalinya, versi CVT turut mendapat ciri Remote Start.
No Comment