Isuzu Malaysia Hantar Pasukan Sertai Kuching Marathon 2019
Berbeza dari tahun sebelumnya, bagi acara Kuching Marathon 2019, Isuzu tidak hanya akan menampilkan diri sebagai penaja utama, tetapi akan menubuhkan satu pasukan yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura untuk sama-sama menyertai larian ini.
Beliau akan ditemani oleh Ketua Operasi Eksekutif Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki; Pengurus Besar, Kenkichi Sogo; Pengurus Kanan, Sean Sin; Pengurus Jualan, Andrew Law serta tiga orang eksekutif dan sembilan orang wakil media akan turut berlari mewakili kumpulan Isuzu untuk menggalas cabaran menghabiskan larian masing-masing dengan jarak antara 5 km hingga 42 km bagi larian penuh.
“Ketika idea agar kami turut berlari di dalam acara Kuching Marathon sebagai satu usaha untuk mengumpulkan dana kebajikan, semua bersetuju sebulat suara. Kami tidak sabar untuk memainkan peranan di dalam usaha pengumpulan dana berkenaan yang nanti bakal disalurkan untuk kegunaan badan kebajikan tempatan. Saya berharap untuk dapat menamatkan larian 10 km yang akan saya sertai nanti,” ujar Nakamura.
Melalui penyertaan di dalam Kuching Marathon 2019 yang akan berlangsung pada 18 Ogos nanti, pasukan ini meletakkan matlamat untuk mengumpul sebanyak RM17,000 yang akan disalurkan kepada dua pertubuhan kebajikan tempatan; Hope Place Kuching yang terlibat dalam mengagihkan bantuan makanan asas dan keperluan harian kepada mereka yang memerlukan, dan Persatuan OKU Kuching yang menyediakan latihan vokasional kepada belia yang kurang bernasib baik dan kelainan upaya.
Sebahagian daripada dana yang akan dikutip itu ialah melalui usaha dari pengedar-pengedar Isuzu di Sarawak, seperti Dai Max Automobile, KM Mobil dan Rhino Motors, sementara bakinya akan dikutip secara dalaman oleh Isuzu Malaysia.
Kuching Marathon merupakan satu acara sukan yang meraih penglibatan ramai peserta di Borneo, dengan lebih daripada 11,000 orang dijangka hadir tahun ini. Sebagai syarikat trak komersil No. 1 di negara ini, Isuzu turut akan memainkan peranannya dengan menyediakan sokongan terhadap acara berkenaan melalui penyediaan Isuzu D-Max yang akan digunakan sebagai kenderaan pendahulu bagi larian berkenaan, dan untuk mengangkut pegawai-pegawai serta wakil media sepanjang acara itu berlangsung.
No Comment