Mercedes-Benz A-Class dan B-Class Kini Dalam Versi Plug-in Hybrid
Mercedes-Benz memperkembangkan barisan plug-in hybrid EQ Power mereka dengan pengenalan tiga model baharu iaitu A 250 e hatchback, A 250 e sedan dan B 250 e.
Kedua-dua model menampilkan pacuan kuasa sama iaitu enjin 1.33-liter empat silinder dengan 160 hp pada 5,500 rpm dan 250 Nm pada 1,620 rpm, serta sebuah motor elektrik yang menjana 75 kW dan 300 Nm. Gabungan kedua-dua ini menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 218 hp dan 450 Nm.
Dilengkapi dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan 8F-DCT, A 250 e hatchback memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.6 saat, A 250 e sedan melakukannya dalam 6.7 saat, manakala B 250 e memerlukan 6.8 saat. Kelajuan maksimum pula adalah 235 km/j bagi A 250 e hatchback dan B 250 e, dan 240 km/j bagi A 250 e sedan.
Jarak pemanduan dalam mod elektrik sepenuhnya adalah antara 70 hingga 77 km (mengikut kitaran NEDC) sementara kelajuan maksimum dalam mod ini adalah 140 km/j bagi ketiga-tiga model.
Bagi penggunaan bahan api pula, Mercedes-Benz mencatatkan antara 1.4 hingga 1.6 liter bagi setiap 100 km, manakala pelepasan CO2 adalah antara 32 hingga 36 gram bagi setiap km.
Menurut Mercedes-Benz, sistem plug-in hybrid ini mendapat tenaganya daripada pek bateri lithium-ion berkapasiti 15.6 kWh. Pengecasan dari 10 hingga 100 peratus mengambil masa kira-kira 1 jam 45 minit dengan pengecas arus ulang alik (AC) Wallbox 7.4 kWh, manakala pengecas arus terus (DC) memerlukan 25 minit untuk pengecasan dari 10 hingga 80 peratus.
Selain mod Comfort, Eco dan Sport, model-model EQ Power ini juga didatangkan dengan mod Battery Level dan Electric. Seperti yang dicadangkan oleh namanya, mod Electric adalah di mana kereta dipacu menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya. Namun, enjin akan dihidupkan sekiranya pemandu menggunakan ‘kickdown’ pada pedal pemecut.
Mod tersebut juga membolehkan pemandu memilih antara lima tahap kekuatan pemulihan tenaga yang disediakan iaitu D Auto, D+, D, D- dan D– menggunakan pedal yang terletak di belakang roda stereng. Turut disertakan adalah ciri kawalan iklim pra-kemasukan (Pre-Entry Climate Control) yang boleh diaktifkan menerusi telefon pintar.
Harga bagi model-model ini bermula dari 36,943.55 Euro (RM171,248) bagi A 250 e hatchback, 37,300.55 Euro (RM172,903) bagi A 250 e sedan dan 37,663.50 Euro (RM174,585) bagi B 250 e.
No Comment