Novitec Jadikan McLaren 720S Spider Lebih Berbisa
Dengan kemampuan untuk melakukan pecutan 0-100 km/j dalam kurang tiga saat, McLaren 720S Spider adalah antara supercar bumbung terbuka yang hangat diperkatakan masa kini. Maka tidak hairanlah Novitec menghasilkan pakej naik taraf untuk model tersebut.
Bermula dari bahagian luaran, syarikat talaan dari Bavaria, Jerman itu menawarkan barisan komponen yang diperbuat daripada karbon tempaan. Ini termasuklah spoiler dan bilah bampar hadapan yang dikatakan dapat mengurangkan daya angkat (lift) pada kelajuan tinggi, kemasan di sekeliling lampu hadapan, penutup bonet N-Largo dan perumah cermin sisi.
Bukan itu sahaja, rocker panel dan penutup liang udara sisi bertindak untuk mengalirkan lebih banyak udara ke ruang enjin. Di belakang, rekaan diffuser yang agresif seolah-olah memberikan amaran kepada pemandu lain untuk menjauhkan diri daripada jentera ini.
Unit yang dipaparkan ini memakai rim MC3 bersaiz 20 dan 21 inci yang direka khas oleh Vossen. Ia dipadankan dengan tayar Pirelli P Zero berukuran 255/30 di hadapan dan 325/25 di belakang. Sebagai alternatif, rim MC1 turut ditawarkan. Spring sport mengurangkan ketinggian sebanyak 30 mm bagi menghasilkan pengendalian yang lebih responsif.
Selain kit badan, Novitec turut menawarkan tiga kit prestasi untuk enjin 4.0-liter V8 milik model ini. Dengan pakej Level 2 yang turut merangkumi sistem ekzos berprestasi tinggi, enjin tersebut menghasilkan 806 hp pada 6,700 rpm dan 878 Nm pada 6,300 rpm, iaitu 86 hp dan 108 Nm lebih tinggi berbanding versi standard.
Ini secara tidak langsung menjadikan 720S Spider lebih pantas dengan masa pecutan 0-100 km/j dikurangkan kepada 2.7 saat dan kelajuan maksimum mencecah 346 km/j.
No Comment