Porsche Macan Turbo Kembali Dengan Kuasa Lebih Tinggi
Setelah memperkenalkan Macan versi standard dan S, kini tiba giliran Porsche untuk memperkenalkan Macan Turbo sebagai varian tertinggi dalam barisan model itu.
Sesuai dengan statusnya, Macan Turbo mempunyai penampilan lebih agresif dengan rekaan bampar yang lebih sporty, skirt sisi dan cermin sisi Sport Design, muncung ekzos berkembar pada bahagian kiri dan kanan serta rim berukuran 20 inci.
Spoiler bumbung pada bahagian belakang bukan sahaja membuatkan model ini kelihatan lebih cantik, malah memberikan kelebihan dari segi aerodinamik.
Di dalam, antara kelengkapan standard yang disertakan adalah tempat duduk sport dengan pelarasan elektrik 18 cara dan pakej keselesaan memori, kemasan bumbung Alcantara, kemasan aluminium pada papan pemuka dan stereng GT dengan fungsi pemanas seperti yang digunakan pada model 911.
Selain itu, pelanggan juga mendapat skrin sentuh HD berukuran 10.9 inci dengan sistem Porsche Communication Management (PCM), sistem audio Bose dengan 14 pembesar suara dan Porsche Conncet Plus yang merangkumi ciri-ciri seperti modul LTE, slot kad SIM dan Wifi Hotspot.
Apa yang melayakkan Macan Turbo untuk duduk di atas takhta Macan adalah enjin 2.9-liter twin-turbo V6 yang menghasilkan 440 PS dan 550 Nm antara 1,800 dan 5,600 rpm. Walaupun lebih kecil, enjin baru ini menghasilkan 10% lebih kuasa berbanding enjin 3.6-liter enam silinder yang digunakan pada model terdahulu.
Gabungan kotak gear PDK tujuh kelajuan, sistem pacuan Porsche Traction Management (PTM) serta pakej Sport Chrono membolehkan SUV ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.3 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 270 km/j.
Tidak seperti varian Macan yang lain, Macan Turbo didatangkan standard dengan Porsche Surface Coated Brake (PSCB), di mana lapisan tungsten carbide pada cakera menjadikan ia lebih responsif selain mengurangkan habuk sebanyak 90% jika dibandingkan dengan cakera konvensional. Sistem gantungan udara ditawarkan secara pilihan pada model ini.
No Comment