Subaru Forester Generasi Kelima Dilancarkan – RM159,788
TC Subaru telah melancarkan Subaru Forester generasi kelima di Malaysia. SUV itu ditawarkan dalam tiga varian iaitu 2.0i-L (RM139,788), 2.0i-S (RM149,788) dan varian tertinggi iaitu 2.0i-S ES (RM159,788).
Kali ini, Forester didatangkan dalam versi CBU dari kilang pengeluaran Tan Chong Subaru Automotive (Thailand) Limited yang terletak di Ladkrabang.
Forester dibina menggunakan Subaru Global Platform yang dikatakan lebih stabil dan senyap. Bukan itu sahaja, penggunaan platform baru ini juga memberikan jarak roda (wheelbase) yang lebih panjang sebanyak 30 mm dan ini secara tidak langsung menjadikan ruang kaki lebih luas.
Ketiga-tiga varian dikuasakan oleh ‘nadi’ yang sama iaitu enjin boxer 2.0-liter empat silinder yang menjana 156 PS pada 6,000 rpm dan 196 Nm pada 4,000 pm. Enjin aspirasi natural (NA) ini dipadankan dengan transmisi Lineartronic CVT dan sistem pacuan semua roda Asymmetrical AWD.
Untuk pemanduan off-road, pemanduan boleh menggunakan sistem X-Mode yang boleh diakses menerusi tombol yang terletak pada konsol tengah. Sistem ini menawarkan mod Snow/Dirt dan Deep Snow/Mud. Ciri SI Drive pula boleh diaktifkan menerusi butang yang terletak pada stereng.
Bergantung kepada varian, Forester tampil dengan lampu hadapan LED dengan fungsi ‘auto levelling’, lampu kabus LED, lamu LED pada bahagian belakang rim 18 inci dengan tayar berukuran 225/55, serta rel bumbung.
Ruang kabin pula menampilkan upholsteri kulit pada stereng dan tombol gear, selain paparan LCD berwarna berukuran 4.2 inci pada panel instrumen, skrin sentuh sistem infotainmen berukuran 8 inci di tengah-tengah papan pemuka dan di atasnya, ada paparan pelbagai fungsi berukuran 6.3 inci.
Selain itu, terdapat juga sistem pendingin hawa dua zon, port USB pada bahagian hadapan dan belakang dan brek parkir elektronik.
Sebagai varian tertinggi, Forester 2.0i-S ES dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu yang dikenali sebagai EyeSight. Ia merangkumi lima ciri utama iaitu Adaptive Cruise Control, Lane Sway and Departure Warning, Lead Vehicle Alert, Pre-Collision Braking System dan Pre-Collision Throttle Management.
Dari segi keselamatan pula, model ini menampilkan tujuh beg udara, Vehicle Dynamics Control System, Steering Responsive Headlights, Subaru Rear Vehicle Detection, Auto Vehicle Hold, kamera undur serta Side View Monitor.
No Comment