Tambah Nilai Kad Touch ‘n Go Anda Sebelum Pulang Beraya
Seperti yang anda sedia maklum, Hari Raya Aidilfitri akan tiba tidak lama lagi. Bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menasihatkan agar orang ramai merancang perjalanan mereka dan menambah nilai kad Touch ‘n Go lebih awal.
Bagi musim perayaan kali ini, PLUS menjangkakan jumlah trafik akan melonjak sebanyak 20 peratus pada hari-hari puncak iaitu pada 9 hingga 12 Ogos serta 17 dan 18 Ogos, berbanding 1.7 juta kenderaan pada hari-hari biasa.
Oleh itu, perjalanan di plaza tol pasti terjejas sekiranya masih terdapat pengguna yang terkandas dan tidak dapat membuat transaksi tol apabila baki pada kad Touch ‘n Go mereka tidak mencukupi. Apabila ini berlaku, ia sudah pasti mengganggu keselesaan dan perjalanan pengguna yang lain.
PLUS juga tidak menyediakan perkhidmatan tambah nilai di lorong keluar di plaza tol. Pengguna disarankan untuk menambah nilai kad Touch ‘n Go mereka di kira-kira 10,000 lokasi di seluruh negara yang merangkumi mesin ATM, R&R, stesen minyak, pasaraya, kiosk layan diri dan lain-lain lagi.
Pada masa yang sama, PLUS turut memaklumkan bahawa pengguna lebuhraya PLUS tidak boleh menggunakan perkhidmatan e-Wallet PayDirect pada ketika ini. Oleh yang demikian, mereka dinasihatkan supaya menambah nilai kad Touch ‘n Go mereka dan menggunakannya untuk semua transaksi tol di lebuhraya kendalian PLUS.
Pengguna juga disarankan untuk menggunakan aplikasi PLUS yang boleh dimuat turun secara percuma untuk mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuhraya. Maklumat trafik juga dihebahkan secara berterusan menerusi Twitter PLUSTrafik serta papantanda elektronik di lebuhraya.
No Comment