Toyota Gazoo Racing (TGR) Velocity Esports Kembali Untuk Musim ke-2
UMW Toyota Motor mengumumkan bahawa ia akan mengadakan kejohanan Toyota Gazoo Racing (TGR) Velocity Esports musim kedua, berikutan sambutan hangat yang diterima pada musim pertama tahun lalu.
Kejohanan Esports ini merupakan salah satu dari pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Toyota, termasuk Toyota Gazoo Racing Festival yang diadakan empat kali setahun di pelbagai lokasi di seluruh negara.
Selain TGR Festival dan kejohanan Esports, UMWT juga akan melancarkan model GR Supra baharu dan GR Garage tidak lama lagi sebagai sebahagian daripada usahanya untuk memperkembangkan lagi sukan permotoran tempatan.
Kejohanan Toyota Gazoo Racing (TGR) Velocity Esports adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas. Peserta akan melalui ujian masa di Cove Esports di Bandar Sunway, Subang Jaya, Selangor pada 31 Ogos dan 1 September dan 14 dan 15 September. 40 pelumba dengan masa terpantas akan layak ke pusingan akhir.
Pusingan akhir adakan diadakan di Pavilion Kuala Lumpur (Centre Court) pada 21 dan 22 September dari 10 pagi hingga 9 malam. Daripada 40 peserta pusingan akhir, seorang akan dinobatkan juara bagi 2019. Tahun ini, para peserta akan bersaing sesama sendiri untuk merebut hadiah keseluruhan bernilai RM70,000.
Semua peserta akan mengemudi jentera Toyota GR Supra 2019 yang dibangunkan bukan sahaja untuk perlumbaan dunia sebenar tetapi juga untuk perlumbaan maya Gran Turismo.
Peserta akan berlumba di litar Fuji Speedway, Jepun sepanjang 1.475 km yang mempunyai salah satu laluan lurus yang terpanjang di dunia. 10 peserta akhir pula akan berentap selama 10 pusingan di tiga litar iaitu Kyoto Driving Park, Suzuka Circuit dan Fuji Speedway.
Kejohanan Esports ini akan menggunakan simulator perlumbaan T-GT dari Thrustmaster dengan pelbagai teknologi terkini yang membolehkan peserta mengeksploitasi ciri dinamik GR Supra.
Untuk maklumat lanjut mengenai kejohanan Toyota Gazoo Racing (TGR) Velocity Esports dan pendaftaran, anda boleh layari https://toyotavelocity.com/.
No Comment