UMW Toyota Motor Lancar Hilux 2.8 Black Edition
UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan kehadiran varian baharu dalam barisan Toyota Hilux iaitu Hilux 2.8 Black Edition. Menggantikan Hilux 2.8 L-Edition sebagai varian tertinggi, ia dijual pada harga RM139,888 di Semenanjung Malaysia bagi pendaftaran persendirian, tanpa insurans.
Penampilan Black Edition lebih menonjol dengan padanan warna hitam berkilat pada pemegang pintu, perumah lampu kabus, cermin sisi dan rim 18 inci, serta warna kelabu gelap pada pelindung bampar. Kedua-dua warna tersebut turut digunakan sebagai penyudah pada bahagian gril.
Turut disertakan adalah sistem infotainmen baharu dengan paparan 6.75 inci yang dikatakan lebih jelas dan lancar. Sistem ini mempunyai ciri Android Auto dan Apple CarPlay yang didatangkan secara standard.
Pelanggan juga boleh menikmati ciri Vehicle Telematics System (VTS), dengan yuran langganan percuma selama tiga tahun melalui pembelian pakej insurans Toyota.
Dari segi keselamatan, Toyota turut menawarkan perakam video digital (DVR) di belakang sebagai pelengkap kepada DVR hadapan yang sedia, serta ciri tambahan seperti Peninjau Titik Buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik di Belakang (RCTA) yang bertujuan untuk mengesan kenderaan yang mungkin berada pada sudut yang sukar dilihat.
Tempahan bagi varian terbaru ini mula dibuka pada 16 Ogos di semua bilik pameran Toyota di seluruh negara.
No Comment