Abarth 595 Pista Mampu Capai 218 Km/j!
Divisyen prestasi Fiat iaitu Abarth telah memperkenalkan model terbaru dalam barisannya iaitu 595 Pista. Ia lebih berkuasa berbanding varian asas 595 dan juga lebih murah berbanding 595 Turismo, walaupun dikuasakan oleh enjin yang sama.
Enjin yang dimaksudkan adalah enjin turbo 1.4-liter empat silinder 165 hp dan 230 Nm. Jika dibandingkan dengan enjin 595 Turismo, versi ini telah dipertingkatkan dengan pengecas turbo Garrett yang lebih besar yang membolehkan kuasa kilas puncak dicapai pada tahap lebih rendah iaitu 2,250 rpm.
Bukan itu sahaja, Pista dilengkapi dengan sistem ekzos aktif Record Monza yang tidak terdapat pada Turismo. Dari segi prestasi, kereta kecil ini boleh memecut dari 80 hingga 120 km/j dalam 7.8 saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 218 km/j.
Pista turut mendapat sistem gantungan Koni pada gandar belakang yang mempunyai teknologi Frequency Selective Damping (FSD). Teknologi ini berfungsi untuk menala sistem gantungan mengikut keadaan jalan dan juga kelajuan kenderaan bagi mencapai lebih kestabilan.
Sistem brek terdiri daripada cakera berukuran 284 mm di hadapan dan 240 mm di belakang. Model ini hanya didatangkan dengan transmisi automatik lim kelajuan yang boleh diakses menerusi paddle shifter.
Dari segi penampilan, 595 Pista boleh didapati dalam beberapa pilihan warna termasuk Matte Grey, Record Grey, Campovolo Grey, Scorpione Black, Podio Blue, Gara White, Abarth Red, Modena Yellow dan Adrenalina Green. Kit Adrenaline menambah perincian berwarna hijau pada bampar hadapan dan belakang, cermin sisi serta hubcap.
No Comment