BMW 330i M Sport Versi CKD Dilancarkan di Malaysia
BMW Group Malaysia telah melancarkan 330i M Sport, sekaligus mengembangkan portfolio model BMW yang dipasang secara tempatan.
Bagi bahagian luaran, model ini hadir dengan jeriji kidney lebih besar, lampu LED adaptif dengan teknologi Bi-LED, lampu belakang yang digelapkan, bibir spoiler aerodinamik, rim aloi ringan ‘790 M’ berukuran 18 inci dalam kemasan dwi tona Orbit Grey dan paip ekzos berkembar bersaiz 90 mm.
Di dalam pula terdapat stereng M Sport multifungsi, paddle shifter dan pencahayaan ambien. Antara ciri utama adalah BMW Intelligent Personal Assistant dan Kunci Digital serta inovasi keselamatan yang ditawarkan dalam bentuk Park Assist dan Reverse Assist.
Turut disertakan adalah BMW Live Cockpit Professional yang merangkumi kluster instrumen digital bersaiz 12.3 inci serta paparan kawalan bersaiz 10.25 inci dengan fungsi sentuh.
330i M Sport dipacu oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 258 hp dan 400 Nm. Dengan transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan yang dikemas kini, ia memerlukan 5.8 saat untuk memecut dari 0 hingga 250 km/j dan boleh mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.
Tahap ketegaran struktur badan dan sambungan sistem suspensi turut dipertingkatkan, dengan pengagihan berat gandar 50:50 dan pusat graviti yang rendah. Selain suspensi M Sport, model ini turut mendapat sistem brek M Sport dengan angkup biru yang memaparkan logo M.
330i M Sport ditawarkan dalam warna Alpine White, Black Sapphire dan Mineral Grey. Warna Portimao Blue boleh didapati bermula Januari 2020 manakala Sunset Orange pula bermula Mac 2020.
Bagi bahagian dalaman pula, pelanggan boleh memilih upholsteri kulit ‘Vernasca’ berwarna hitam atau upholsteri kulit ‘Vernasca’ berwarna ‘cognac’.
Harga jualan bagi 330i M Sport CKD bermula RM288,000 iaitu RM40,000 lebih murah berbanding versi CBU. Ia didatangkan dengan waranti tanpa had perbatuan bertempoh lima tahun, program servis berjadual percuma dan program waranti tayar bertempoh dua tahun.
No Comment