BMW X1 Facelift Kini Dalam Versi Hibrid Plug-in
Selepas memperkenalkan X1 facelift pada Mei lalu, BMW kini mendedahkan pula versi hibrid plug-in untuk pasaran Eropah yang dikenali X1 xDrive25e.
Seperti MINI Cooper S E Countryman, model terbaru ini menampilkan enjin 1.5-liter tiga silinder turbo dan sebuah motor elektrik. Enjin pembakaran dalam itu memacu gandar hadapan dengan bantuan transmisi automatik enam kelajuan, manakala motor elektrik tersebut menggerakkan gandar belakang dengan transmisi kelajuan satu kelajuan.
Gandingan ini menjana 220 hp dan 385 Nm, membolehkan X1 xDrive25e memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa tujuh saat sebelum mencapai kelajuan maksimum yang ditetapkan pada 192 km/j.
Dalam mod pemanduan elektrik, crossover ini boleh dipandu sejauh 57 km dengan kelajuan maksimum 135 km/j. Prestasi ini disumbangkan oleh bateri lithium-ion berkapasiti 9.7 kWh yang boleh dicas penuh dalam tempoh lima jam dengan soket konvensional atau 3.6 jam dengan pengecas pantas BMW i Wallbox.
X1 xDrive25e hadir dengan penampilan yang tidak ubah seperti varian biasa, cuma ia mempunyai lencana ‘xDrive25e’ pada bahagian belakang dan port pengecas berdekatan dengan tayar hadapan sebelah kiri. Di dalam, kedudukan pek bateri di bawah kerusi belakang sedikit menjejaskan kapasiti ruang but.
No Comment