Inilah Logo Baharu Proton
Proton hari ini memperkenalkan logo dan slogan baharunya, selari dengan cita-citanya untuk menjadi jenama automotif moden di peringkat global.
Mengekalkan lambang harimau seperti sebelum ini, logo Proton diperkemaskan dengan sentuhan warna perak dan rekaan lebih mantap bagi mewakili jati diri Malaysia.
Kepala harimau kini diangkat tinggi, seperti anak panah yang melambangkan kejayaan Proton yang terus maju ke hadapan. Model pertama yang akan menampilkan logo baharu ini adalah X70 versi CKD.
Selain logo, Proton turut melancarkan slogan baharu iaitu ‘Inspiring Connections’. Ia menampilkan aspirasi jenama ini untuk mengguna pakai teknologi dan mobiliti bagi mewujudkan hubungan kemanusiaan yang memberi inspirasi kejayaan dalam kehidupan.
Penjenamaan baharu Proton dipacu oleh tiga nilai teras iaitu Teknologi Inovatif, Kebolehpercayaan dan Antarabangsa.
Teknologi Inovatif mewakili komitmen Proton untuk menggunapakai dan mempersiapkan produkya dengan teknologi inovatif yang ada, dengan melibatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di peringkat gobal dan platform Geely iNTEC yang maju.
Kebolehpercayaan bermaksud pelanggan boleh mengharapkan Proton sama ada melibatkan kereta Proton atau perkhidmatan selepas jualan. Matlamat ini akan dicapai menerusi peningkatan kualiti produk dengan mengaplikasikan piawaian global dan amalan terbaik, termasuklah melalui latihan kakitangan.
Antarabangsa pula menunjukkan cita-cita Proton untuk menjadi jenama global yang unggul dan salah satu daripada tiga pengeluar automotif terbaik di rantau ASEAN.
Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton berkata,”Bagi kami, penjenamaan bukan sekadar logo, slogan atau warna. Ia melambangkan aspirasi Proton; ini adalah komitmen kami kepada para pelanggan. Sebab itulah kami tidak tergesa-gesa melancarkan penjenamaan baharu ini pada permulaan perjalanan kami pada tahun 2017.”
No Comment