Land Rover Defender (2020) Muncul di Frankfurt Motor Show
Setelah sekian lama, Land Rover Defender 2020 serba baharu akhirnya tiba dengan rekaan retro moden serta pelbagai teknologi terkini. Diperkenalkan secara rasmi di Frankfurt Motor Show 2019, model off-road ini ditawarkan dalam versi 90 (dua pintu) dan 110 (empat pintu).
Walaupun tampil dengan rekaan lebih moden, SUV berbentuk kotak ini masih mengekalkan elemen-elemen yang menjadi trademark Defender sejak turun temurun seperti lampu hadapan berbentuk bulat, tingkap ‘skylight’ pada bumbung, serta tailgate engsel menegak lengkap dengan tayar gantian bersaiz penuh.
Masuk ke dalam, Defender baharu menampilkan rekaan yang ringkas dengan penekanan pada aspek praktikaliti. Tombol gear diletakkan pada papan pemuka bagi memberi ruang kepada tempat duduk hadapan ketiga seperti yang terdapat pada model-model terdahulu.
Hasilnya, Defender 110 menawarkan enam hingga tujuh (5+2) tempat duduk dengan tiga barisan tempat duduk manakala Defender 90 pula boleh memuatkan sehingga enam penumpang dengan dua barisan tempat duduk.
Defender dibina di atas platform aluminium D7x yang dikatakan paling tegar pernah dihasilkan oleh Land Rover. Ini memberikannya ruang lega tanah sebesar 291 mm, manakala sudut ‘approach’, ‘breakover’ dan ‘departure’ masing-masing adalah 38, 28 dan 40 darjah. Ia juga mampu meredah air dengan kedalaman maksimum 900 mm.
Bagi enjin pula, Defender bakal ditawarkan dengan pilihan enjin diesel dan petrol seperti berikut:
- 2.0L D240 AWD Auto (0-100 km/j dalam 9.1 saat, 188 km/j maksimum) 237bhp
- 2.0L D200 AWD Auto (0-100 km/j dalam 10.3 saat, 175 km/j maksimum) 197bhp
- 2.0L P300 AWD Auto (0-100 km/j dalam 8.1 saat, 191 km/j maksimum)
- 3.0L P400 Mild Hybrid AWD Auto (0-100 km/j dalam 6.1 saat, 208 km/j maksimum)
Semua enjin dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang menyalurkan kuasa ke roda menerusi sistem pacuan semua roda AWD yang mempunyai ‘transfer case’ dua kelajuan (high range dan low range). Turut disertakan adalah sistem Terrain Response 2 dengan pelbagai mod pemanduan termasuk fungsi Auto di mana Defender akan mengesan jenis permukaan dengan sendiri seterusnya mengaktifkan mod yang sesuai.
Selain itu, teknologi ClearSight Ground View membolehkan pemandu melihat kawasan yang terlindung oleh bonet di bahagian bawah hadapan kenderaan menerusi skrin di dalam kabin.
Seperti sebelum ini, Defender ditawarkan dalam pelbagai spesifikasi termasuk standard, First Edition, X, S, SE dan HSE, dengan empat pilihan pakej aksesori iaitu Explorer, Adventure, Country dan Urban.
Bagi pasaran United Kingdom, model ini akan dijual pada harga bermula £40,000 (RM205,956) bagi Defender 90 dan £45,240 (RM232,936) bagi Defender 110.
No Comment