Lego Technic Perkenal Set Land Rover Defender 2020
Land Rover Defender 2020 yang diperkenalkan di Frankfurt Motor Show baru-baru ini memang menarik namun dengan harga bermula sekitar £40,000 (RM205,956), ia bukanlah jentera off-road yang boleh dikategorikan sebagai ‘mampu milik’.
Tetapi jika anda masih inginkan Defender, anda boleh mendapatkan set Defender Lego Technic ini yang akan memasuki pasaran bermula 1 Oktober dengan harga $199.99 (RM835).
Untuk harga tersebut, sebuah model permainan Defender 90 yang realistik yang diperbuat daripada 2,573 komponen Lego. Model sepanjang 42 cm ini didatangkan dengan enjin enam silinder dengan omboh bergerak, stereng yang berfungsi, sistem gantungan bebas pada kedua-dua gandar serta tiga unit ‘differential’.
Bukan itu sahaja, ia juga dilengkapi dengan transmisi berjujukan empat kelajuan yang dikatakan paling sofistikated yang pernah dihasilkan oleh Lego. Transmisi tersebut memang canggih kerana ia didatangkan lengkap dengan dua tuil untuk penukaran kepada gear nisbah rendah dan tinggi.
Pintu, tailgate dan bonet semuanya boleh dibuka, manakala tempat duduk belakang pula boleh dilipat. Ia turut mempunyai winch yang berfungsi, rak bumbung, kotak simpanan, pannier dan tangga pada bahagian sisi.
No Comment