Mercedes-AMG A35 4Matic Sedan Kini di Malaysia
Lima bulan selepas melancarkan Mercedes-Benz A200 dan A250 Sedan, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) kini memperkenalkan pula model berprestasi ‘entry-level’ iaitu Mercedes-AMG A35 4Matic Sedan.
Model ini dibawa masuk khas untuk golongan muda yang mahukan kereta berprestasi tinggi yang mempunyai ruang untuk penumpang dan bagasi.
‘Nadi’ A35 adalah enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang menghamburkan 306 hp pada 5,800 rpm dan 400 Nm dari 3,000 hingga 4,000 rpm. Unit ini dipadankan dengan transmisi klac berkembar AMG Speedshift tujuh kelajuan.
Dengan gabungan sistem pacuan semua roda 4Matic dan ciri Launch Control, jentera ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.8 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.
Antara kelengkapan yang ada pada A35 Sedan adalah AMG Dynamics yang merupakan sebahagian daripada program pemanduan AMG Dynamic Select, serta sistem gantungan AMG Ride Control yang membolehkan memilih salah satu daripada tiga konfigurasi peredam yang disediakan.
Dari segi penampilan, A35 Sedan didatangkan dengan pakej AMG Line yang merangkumi bilah berkembar pada jeriji, apron hadapan dengan flics pada bahagian ambilan udara, splitter hadapan serta rim AMG berukuran 19 inci.
Masuk ke bahagian dalam, gabungan upholsteri kulit Artico dan microfibre Dinamica, serta jahitan dan tali pinggang keledar berwarna merah menghasilkan suasana sporty seperti yang dijangkakan dari sebuah jentera AMG. Satu ciri baharu yang disertakan adalah konsol tengah AMG dengan pad sentuh serta suis tambahan untuk ESP dan mod transmisi manual.
Seperti A-Class hatchback, model ini turut menampilkan sistem multimedia MBUX dengan ciri arahan suara serta Widescreen Cockpit yang menggabungkan dua paparan dalam satu panel sebagai elemen utama.
Untuk kemudahan penumpang, model ini mempunyai ruang kepala berukuran 944 mm di belakang, manakala butnya pula berkapasiti 420 liter. Bukaan sebesar 950 mm (lebar) membolehkan bagasi besar dimasukkan dengan mudah.
Mercedes-AMG A35 4Matic Sedan boleh didapati pada harga RM348,888. Jika anda betul-betul berminat, Mercedes-Benz Financial menawarkan pakej menarik dengan ansuran bulanan yang rendah untuk tempoh masa tertentu.
No Comment