Pandu Uji – Mazda3 1.5L Hatchback
Sejak diperkenalkan di peringkat global pada November 2018, Mazda 3 generasi keempat mendapat reaksi yang sangat positif daripada orang ramai yang rata-ratanya telah jatuh cinta dengan evolusi terkini reka bentuk Kodo terutamanya pada varian hatchback.
Pada Julai 2019, doa para peminat Mazda3 di Malaysia akhirnya terjawab apabila Bermaz Motor melancarkan model itu untuk pasaran tempatan. Ia ditawarkan dalam tiga varian iaitu 1.5L yang boleh didapati dalam versi sedan dan hatchback, 2.0L High (sedan sahaja) dan 2.0L High Plus (sedan dan hatchback).
Reka bentuk luaran
Ia bukanlah satu rahsia yang Mazda ingin menjadi jenama yang lebih premium dan ini dapat dilihat dengan jelas pada reka bentuk Mazda3 baharu. Walaupun pada pandangan penulis ia nampak bersahaja, entah bagaimana model ini mempunyai penampilan yang lebih mewah jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing terdekatnya.
Pada masa yang sama, ia juga kelihatan garang dan berani terutamanya jika dilihat dari bahagian hadapan. Di belakang, tiang C yang tebal dan sudut potongan tailgate yang dramatik memberikan kereta ini bentuk yang seksi, tidak kira sama adanya yang melihatnya lelaki atau perempuan.
Reka bentuk dalaman
Mereka yang sukakan suasana yang kemas dan tersusun pasti akan menyukai ruang kabin Mazda3. Papan pemukanya ringkas dan tidak berserabut, manakala segala butang dan tombol kawalan tersusun rapi dan mudah dicapai, secara tidak langsung menjadikan pemandu lebih fokus. Ini penting kerana Mazda seringkali melaungkan semangat Jinba Ittai iaitu penyatuan antara jentera dan pemandu.
Elemen yang paling menonjol di sini adalah skrin infotainmen berukuran 8.8 inci berbentuk trapezium yang kelihatan hampir sama dengan apa yang terdapat di dalam sesetengah kereta berjenama Eropah. Ia tidak mempunyai fungsi skrin sentuh, jadi pemandu perlu menggunakan tombol kawalan pada konsol tengah untuk mengakses sistem Mazda Connect.
Satu lagi perkara yang membuatkan penulis suka tentang kabin model ini adalah reka bentuk tempat duduknya. Walaupun ia bukan kerusi ‘bucket’, kerusi tersebut mampu memberikan sokongan yang tinggi apabila pemandu melayan selekoh.
Praktikaliti
Jika ruang penyimpanan adalah aspek yang penting buat anda, Mazda3 tidak mengecewakan. Ruang penyimpanan panel pintu agak luas dan boleh memuatkan botol minuman serta barangan-barangan lain yang biasa di bawa masuk ke dalam kereta. Sama juga dengan kotak simpanan yang terletak di bawah perehat tangan, ia cukup besar untuk segala jenis gajet yang anda ada.
Model hatchback ini mempunyai ruang but berkapasiti 295 liter, agak kecil terutamanya jika dibandingkan dengan versi sedan yang mempunyai ruang sebesar 444 liter. Berita baik di sini adalah kerusi belakang boleh dilipat sepenuhnya secara 60:40 jika anda memerlukan lebih banyak ruang.
Prestasi
118 hp dan 153 Nm yang dijana oleh enjin Skyactiv-G 1.5-liter empat silinder itu bukanlah angka istimewa yang perlu digembar-gemburkan. Biarpun ia lebih tinggi berbanding Toyota Yaris yang turut dikuasakan oleh enjin NA 1.50-liter, penulis merasakan ia biasa-biasa sahaja. Tetapi apa yang menarik perhatian penulis adalah kesediaannya untuk bekerja keras apabila diminta.
Ini terbukti apabila penulis mencubanya di Litar Antarabangsa Sepang kira-kira seminggu selepas ia dilancarkan. Di laluan lurus, ia mempunyai kemampuan untuk memecut sehingga kelajuan 130-140 km/j dengan agak mudah dan lebih pantas dari yang disangkakan, namun selepas itu ia seolah-olah telah kehabisan tenaga atau bahasa pasarnya, ‘pancit’.
Tetapi harus diingat bahawa ini di litar lumba. Di jalan raya, prestasi sebegini sudah boleh dikira cukup bagus pada hemat penulis. Lagipun, berapa kerap anda memecut melebihi 140 km/j di dalam bandar atau dalam perjalanan ulang-alik ke tempat kerja?
Sebenarnya, sebahagian besar daripada prestasi baik ini disumbangkan oleh transmisi automatik Skyactiv-Drive enam kelajuan yang ditugaskan untuk memacu roda hadapan. Selain penukaran gear yang tepat dan pantas, ia seolah-olah mempunyai akal tersendiri yang membuatkan ia memahami rentak pemanduan penulis. Dalam erti kata lain, talaannya cukup sempurna dan sesuai untuk enjin ini.
Pengendalian
Jika ada satu aspek yang Mazda3 betul-betul cemerlang, inilah dia. Penggunaan suspensi jenis ‘torsion beam’ pada gandar belakang langsung tidak menjejaskan kemampuan jentera ini untuk menggerakkan badannya dengan tangkas mengikut arah putaran stereng, seperti yang penulis dapat rasakan sendiri ketika melakukan ujian slalom di Sepang.
Ketika melakukan ujian tersebut, jelas terbukti bahawa model hatchback ini mempunyai tahap keseimbangan yang tinggi walaupun ‘dipaksa’ melepasi satu demi satu kon yang disusun agak rapat. Ditambah pula dengan kehadiran sistem GVC Plus yang ditambahbaik, ia sememangnya direka untuk mereka yang gemar memandu.
Konklusi
Bagi penulis, Mazda3 generasi keempat memang layak digelar sebagai ‘kereta premium’ berdasarkan beberapa kriteria yang dipenuhi seperti reka bentuk luaran yang mewah, ruang kabin yang kemas dan berkualiti tinggi, serta prestasi pemanduan yang begitu baik.
Namun, Bermaz berhadapan dengan satu masalah di sini iaitu harga lebih tinggi berbanding model-model lain di dalam segmen. Ya, ia hadir sebagai model CBU dari Jepun tetapi dengan harga bermula RM139,620, varian 1.5L hatchback ini lebih mahal berbanding Honda Civic spesifikasi paling tinggi. Dan ia adalah varian paling rendah dalam barisan model Mazda3.
Bukan itu sahaja, harga ini juga secara tidak langsung menjadikannya pesaing kepada SUV seperti CX-5. Dalam situasi ini, pembeli perlu membuat keputusan sama ada untuk membeli sebuah hatchback baharu yang bergaya atau sebuah SUV yang lebih besar dan praktikal.
Tetapi kalau dah betul minat, harga yang sedikit mahal pasti tidak akan menjadi penghalang. Biarlah terpaksa berbelanja lebih, asalkan puas hati dapat memiliki kereta idaman. Betul tak?
Spesifikasi Mazda3 1.5L Hatchback
Enjin: DOHC 4 silinder sebaris
Kapasiti: 1,496 cc
Kuasa: 118 hp @ 6,000 rpm
Tork: 153 Nm @ 4,000 rpm
Transmisi: Automatik 6 kelajuan
0-100 km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM139,620
No Comment