Pandu Uji – Nissan LEAF Generasi Kedua
Seiring dengan pembangunan infrastruktur yang semakin kukuh, pasaran kereta elektrik (EV) di Amerika Utara dan Eropah dilihat semakin lama semakin berkembang.
Bagi Malaysia pula, kita sebenarnya masih belum bersedia untuk menerima kemasukan EV tetapi ini nampaknya tidak menghalang beberapa jenama untuk menguji pasaran dengan produk masing-masing.
Salah satu jenama yang dimaksudkan adalah Nissan, yang telah melancarkan LEAF generasi kedua pada bulan Julai lalu. Ditawarkan dalam versi 40 kWh, model ini dijual pada harga RM188,888.
Ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana Edaran Tan Chong Motor (ETCM) terlebih dahulu menjelaskan niat mereka untuk membawa masuk model itu dengan pra-tonton di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS’18) pada penghujung tahun lalu.
Selain harga yang tinggi, kegusaran mengenai jarak perjalanan adalah antara isu utama yang menyelubungi kereta elektrik. Oleh itu, bagi memberikan gambaran mengenai pemilikan EV dan impaknya terhadap kehidupan seharian, pihak ETCM telah menjemput para media untuk memandu uji LEAF. Walaupun hanya mengambil masa selama beberapa jam, pengalaman memandunya dari Glenmarie ke Putrajaya sedikit sebanyak menjawab beberapa persoalan yang bermain di minda.
Seperti yang dijangka, memandu kereta elektrik memberikan perasaan yang sangat berbeza berbanding kereta petrol atau diesel. Ianya bermula saat butang penghidup enjin ditekan – tiada sebarang bunyi atau gegaran, hanya panel instrumen yang menyala menandakan kereta sudah dihidupkan.
Sebaik sahaja gear dimasukkan ke D dan pedal pendikit tekan, penulis merasakan prestasi pecutan yang sangat memuaskan. Ini kerana keseluruhan 320 Nm tujahan kuasa kilas (tork) akan dihasilkan sebaik sahaja pendikit ditekan, sangat berbeza jika dibandingan dengan kereta dengan enjin pembakaran dalam yang mengambil masa untuk menjana kuasa.
Agak mengejutkan apabila pihak ETCM sempat mengaturkan sesi ‘drag race’ antara LEAF dan Nissan Fairlady 370Z untuk menunjukkan keupayaan memecut yang dimiliki oleh kereta elektrik itu. Jarak yang digunakan adalah pendek sahaja iaitu 50 meter, jadi kelebihan sememangnya berpihak kepada LEAF yang lebih ringan.
Satu lagi kelebihan LEAF adalah kabin yang begitu senyap. Ketiadaan enjin pembakaran dalam membuatkan pemanduan menjadi betul-betul aman dan selesa. Bukan itu sahaja, sebahagian besar bunyi angin dan tayar terhalang daripada meresap dalam kabin mengikut pengamatan penulis.
Pengendalian model ini juga tidak kurang hebatnya. Kedudukan bateri yang agak rendah di bawah lantai menghasilkan pengendalian yang seimbang, ditambah pula dengan stereng ‘flat bottom’ yang sporty dan sedap digenggam.
Di atas lebuhraya menghala ke Putrajaya, penulis sempat mencuba satu ciri unik LEAF iaitu e-Pedal. Secara asasnya, ciri ini membolehkan pemandu untuk memecut dan memperlahankan kenderaan dengan menggunakan hanya satu pedal.
Dalam erti kata lain, penulis hanya perlu melepaskan kaki dari pedal pendikit dan LEAF akan menjadi lebih perlahan seolah-olah pedal brek sedang ditekan. Fungsi ini dirasakan berguna terutamanya di dalam trafik sederhana tetapi anda mungkin memerlukan masa untuk membiasakan diri terutamanya untuk mengagak jarak yang diperlukan untuk kereta ini berhenti sepenuhnya.
Selain e-Pedal, LEAF turut didatangkan dengan Eco Mode, B Mode dan B-Eco Mode. Eco Mode akan mengurangkan respon pendikit untuk menjaga tahap tenaga bateri, B Mode pula meningkatkan tahap brek regeneratif manakala B-Eco Mode adalah untuk menjimatkan kuasa di samping mendapatkan pengecasan maksimum.
Kehadiran mod-mod ini ternyata boleh mengurangkan kegusaran mengenai jarak pemanduan LEAF yang dicatatkan pada 311 km mengikut kitaran NEDC. Oleh kerana ia terbukti cukup untuk perjalanan dua hala dari Glenmarie ke Putrajaya, penulis yakin ia cukup untuk kebanyakan warga kota yang bekerja di kawasan bandar.
Bagi pengecasan pula, setiap LEAF didatangkan dengan pengecas Wallbox berkapasiti 6.6 kWh yang mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk pengecasan penuh. Menariknya, selain untuk pemasangan di kediaman, Wallbox ini juga disediakan di 17 bilik pameran ETCM di seluruh negara.
Bukan itu sahaja, LEAF juga boleh menggunakan pengecas pantas CHAdeMO berkapasiti 50 kW yang boleh memberikan tenaga penuh dalam tempoh hanya satu jam. Pengecas jenis ini agak terhad kerana ia hanya disediakan di tiga lokasi iaitu di ABB Malaysia Sdn. Bhd. (Subang Jaya), Nichicon (Malaysia) Sdn. Bhd. (Bandar Baru Bangi) dan PLUS Ayer Keroh R&R, Melaka (arah selatan).
Satu lagi perkara yang ingin penulis sentuh adalah harga. Ya, dengan harga yang mencecah hampir RM200,000, diakui bahawa LEAF bukanlah untuk semua. Tetapi sebagai sebahagian daripada strategi pemasarannya, ETCM menawarkan program langganan untuk tempoh tiga tahun dengan kos RM3,500 sebulan.
Jadi jika anda tinggal di sekitar Lembah Klang dan kos tidak menjadi masalah, LEAF mungkin sesuai untuk anda. Tetapi bagi penulis, ia bukanlah kereta pertama yang ideal kerana ia juga mempunyai kekurangan iaitu jarak pemanduan dan fasiliti pengecasan yang terhad.
Spesifikasi Nissan LEAF
Enjin: Motor elektrik
Kapasiti bateri: Lithium-ion 40 kWh
Kuasa: 150 PS
Tork: 320 Nm
0-100 km/j: 7.9 saat
Kelajuan maksimum: 155 km/j
Harga: RM188,888
No Comment