Porsche 911 Carrera 4 Generasi 992
Barisan Porsche 911 generasi 992 terus berkembang, kali ini dengan kehadiran model Carrera 4 dalam bentuk coupe dan cabriolet.
Seperti 911 Carrera yang diperkenalkan pada Ogos lalu, Carrera 4 dijana oleh enjin 3.0-liter twin-turbo enam silinder rata yang menghasilkan 385 PS dan 450 Nm.
Apa yang menjadikan model ini berbeza adalah kehadiran sistem pacuan semua roda yang diwakili oleh nombor ‘4’ pada namanya. Sistem ini dipadankan dengan transmisi dwi-klac PDK lapan kelajuan.
Dari segi prestasi, Carrera 4 versi coupe memerlukan 4.2 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dan ia boleh memecut sehingga 291 km/j. Jika dilengkapi dengan pakej Sport Chrono, ia hanya mengambil masa empat saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j.
Sementara itu, versi cabriolet pula melakukan pecutan tersebut dalam 4.4 saat atau 4.2 saat dengan pakej Sport Chrono. Seperti yang dijangka, kelajuan maksimum bagi versi bumbung terbuka ini adalah lebih rendah sedikit iaitu 289 km/j.
Bagi memastikan ketahanan dan meningkatkan had beban, klac dan differential pada gandar hadapan dilengkapi dengan sistem penyejukan cecair. Kehadiran Porsche Traction Management (PTM) pula memastikan tahap cengkaman yang tinggi pada permukaan bersalji, basah dan juga kering.
Selain itu, Carrera 4 juga dilengkapi dengan Porsche Active Suspension Management (PASM) berserta ciri redaman boleh ubah. Ia boleh digunakan menerusi dua mod yang disediakan iaitu Normal dan Sport. Porsche Torque Vectoring (PTV) yang didatangkan standard pada Carrera S dan Carrera 4S, ditawarkan sebagai ciri pilihan pada model ini.
Carrera 4 hadir dengan reka bentuk yang sama dengan varian 911 yang lain, kecuali pada bahagian belakang di mana ia dilengkapi dengan muncung ekzos berbentuk segi empat tempat, sementara Carrera 4S mempunyai muncung ekzos berkembar berbentuk bulat.
No Comment