Porsche Taycan Tiba Dengan 761 PS
Kereta elektrik pertama Posche iaitu Taycan akhirnya didedahkan secara rasmi. Walaupun tidak mempunyai enjin pembakaran dalam, Taycan akan ditawarkan dalam varian Turbo dan Turbo S seperti model 911.
Kedua-dua varian menampilkan dua motor elektrik, satu pada setiap gandar. Varian Turbo mempunyai 625 PS (680 PS dalam mod overboost) dan 850 Nm. Ia memerlukan 3.2 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j, 6.9 saat dari 0 hingga 160 km/j dan 10.6 saat untuk 0 hingga 200 km/j.
Sementara itu, Turbo S pula mempunyai kuasa asas yang sama iaitu 625 PS namun mod overboost yang diaktifkan bersama dengan ciri Launch Control memberikan jentera ini kuasa sebanyak 761 PS. Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.8 saat, 0 hingga 160 km/j dalam 6.3 saat dan 0 hingga 200 km/j dalam 9.8 saat.
Kedua-dua varian dilengkapi dengan transmisi dua kelajuan yang diletakkan pada gandar belakang. Gear pertama membantu Taycan dari segi pecutan dari kedudukan pegun, manakala gear kedua dengan nisbah yang panjang mengekalkan kecekapan tenaga pada tahap yang tinggi.
Dari segi pengecasan, tenaga untuk jarak pemanduan sejauh 100 km boleh dicapai dalam masa kira-kira lima minit menerusi pengecas DC berkapasiti 270 kW atau 31 minit sekiranya menggunakan pengecas DC 50 kW. Pemilik juga boleh menggunakan pengecas AC 11kW untuk pengecasan di kediaman.
Untuk kawalan casis, Porsche menggunakan teknologi Porsche 4D-Chassis Control yang merangkumi sistem gantungan udara adaptif dengan PASM (Porsche Active Suspension Management), Porsche Dynamic Chassis Control Sport (PDCC Sport) dan Porsche Torque Vectoring Plus (PTV Plus). Lima mod pemanduan disediakan iaitu Range, Normal, Sport, Sport Plus dan Individual.
Menurut Porsche, barisan model Taycan akan diperkembangkan kelak dengan varian yang kurang berkuasa diikuti dengan versi Cross Turismo menjelang akhir tahun 2020.
No Comment