Shahril Juara Velocity ESport Toyota Gazoo Racing 2019
Acara kemuncak Kejuaraan Velocity ESport Toyota Gazoo Racing (GR) yang diadakan di Pavilion Kuala Lumpur pada 22 September menyaksikan seramai 40 peserta berentap di pusingan akhir acara perlumbaan Esport terbesar di Malaysia berkenaan.
Bagi kejohanan tahun ini, Mohd Shahril Bin Nindar berjaya muncul juara setelah mengumpul mata tertinggi. Beliau berjaya mengalahkan Muhammad Uzair Bin Abdul Nasir yang menamatkan saingan di tempat kedua dan Mohammad Afif Bin Suhaimi di tempat ketiga.
UMW Toyota Motor (UMWT) menjadi syarikat automotif pertama yang menyokong perkembangan pesat aktiviti sukan elektronik di sini sejak tahun lalu. Memandangkan maklum balas dan sambutan yang diterima begitu menggalakkan, UMWT sekali lagi menganjurkannya bagi edisi tahun ini.
Kejuaraan Velocity ESport Toyota Gazoo Racing (GR) 2019 menyaksikan seramai 700 peserta telah bersaing sesama sendiri di dalam pusingan kelayakan yang diadakan di Cove ESport Hub, Bandar Sunway, Subang Jaya, Selangor pada 31 Ogos, serta 1,14 dan 15 September.
Tahun ini, semua pemenang akan berkongsi tawaran hadiah dengan nilai yang lebih besar iaitu RM70,000. Juara membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, naib juara RM10,000 dan tempat ketiga RM5,000. Sementara itu, pemenang tempat keempat hingga kesepuluh masing-masing mendapat hadiah wang tunai RM4,000 manakala tempat kesebelas hingga kedua puluh mendapat RM1,000. Turut diadakan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah produk permainan video elektronik bernilai RM11,000.
Semua peserta menggunakan jentera Toyota GR Supra 2019, kereta flagship terbaru keluaran Toyota yang dibangunkan tidak hanya bagi kegunaan sukan permotoran sebenar, tetapi juga boleh dimanfaatkan dalam pertandingan Gran Turismo ESport.
Tahun ini, peserta akan berlumba di sekitar Fuji Speedway, Jepun yang merupakan sebuah litar terkenal dengan laluan sepanjang 1.475 km serta melibatkan satu laluan lurus yang terpanjang di dunia. 10 peserta akhir pula akan berentap sesama sendiri di dalam perlumbaan 10-pusingan di dalam tiga litar terbaik melibatkan Kyoto Driving Park, Suzuka Circuit dan Fuji Speedway.
Thrustmaster menjadi pembekal simulator perlumbaan T-GT bagi Kejuaraan Velocity Esport Toyota Gazoo Racing (GR) 2019 ini, dan juga untuk permainan maya Gran Turismo akan datang.
No Comment